Wan Firdaus (kanan) menyampaikan cendera hati daripada Pengerusi Ban Xia Miao, Datuk Wong Kii Yii sambil disaksikan oleh pegawai kanan polis.
LABUAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan mengambil langkah proaktif untuk memperkukuh hubungan anggota polis dengan pemimpin agama dan masyarakat menerusi Program Kembara Rumah Ibadat yang dilaksanakan pagi kelmarin.
Program Kembara Rumah Ibadat yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan Supritendan Wan Firdaus Wan Zaki bersama 30 pegawai kanan yang terdiri Ketua Ketua Bahagian menaiki motosikal menuju ke enam buah rumah ibadat bermula di Gereja Agniclan,
Geraja Katolik, Kuil Gudwara Sahib, Gereja SIB Pohon Batu dan dua buah tokong masing masing Tokong Guang Fu Gong di pusat bandar dan Tokong BaXiang Miao di Kina Benua.
Turut sama menyertai Kembara Rumah Ibadat itu, Timbalan Ketua Polis Wilayah Persekutuan Labuan, DSP Ridzuan @ Robin Ismail dan Skuad Aman Wanita ( AMANITA).
Terdahulu, Wan Firdaus ketika ditemui media berkata, program tersebut memfokuskan kerjasama dua hala dalam menyalurkan maklumat keselamatan serta memberi pendedahan mengenai trend jenayah semasa di pulau ini.
Selain itu ia juga menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim antara PDRM dan pengurusan rumah ibadat di sekitar Labuan.
“Program iini juga turut menekankan peranan penting pemimpin agama dalam memupuk perpaduan, keharmonian dan semangat saling menghormati.
“Di samping itu mengelakkan sebarang isu sensitif melibatkan kaum, agama dan Institusi Diraja atau 3R demi mengekalkan keamanan di pulau ini”, katanya.
Pada masa sama, program secara bersemuka ini juga dapat mewujudkan saluran komunikasi yang lebih pantas dan berkesan bagi memudahkan penyaluran maklumat terutama membabitkan isu keselamatan.



