SIJIL….Bashir menyampaikan sijil anugerah kepada salah seorang graduan pada majlis itu.
LABUAN: Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu ditranfomasi melalui pengenalan dan penawaran kursus-kursus baharu selari dengan perubahan teknologi semasa khususnya berkaitan teknologi digital yang menjadi asas penting dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri demikian kata Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvokesyen Institut Latihan Perindustrian Labuan (ILP) kali ke 25 yang diadakan di Dewan Kuliah Utama ILP Labuan, di sini pada Ahad.
Bashir berkata, menerusi Racangan Malaysia Ke 12, Jabatan Tenaga Manusia telah meluluskan peruntukan pembangunan oleh kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan kursus-kursus baharu dalam bidang siber teknologi 5G.
“Saya difahamkan, menerusi Rancangan Malaysia Ke-12, Jabatan Tenaga Manusia telah diluluskan peruntukan pembangunan oleh Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan kursus-kursus baharu dalam bidang keselamatan siber (cyber security), telekomunikasi 5G dan teknologi drone di beberapa Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) yang terpilih” katanya.

Bashir yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan menjelaskan Institusi TVET perlu menjadi pemacu bagi melatih dan melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang berkulaiti dan seterusnya dapat memenuhi keperluan industri.
Pada masa yang sama katanya, penggunaan teknolgi secara intensif dalam pembuatan produk dan penyampaian perkhidmatan perlu dipertingkatkan lagi dalam industri tempatan.
Hadir sama, Pengarah Institut Latihan Perindustrian Labuan, Haji Zainudin Haji Ahmad dan Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Institut Latihan Perindustrian Labuan, Ainuddin Mat Hassan.
Pada majlis itu, Bashir turut menyempurnakan majlis penyampaian sijil anugerah Kemahiran Malaysia Tahap 3 kepada 291 graduan.