KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir hari ini dimaklumkan bahawa tiada sebarang kesan lebam atau tanda penderaan ditemui pada tubuh pelajar berusia 13 tahun itu ketika dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 16 Julai lalu.
Perkara itu disahkan oleh pegawai perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma HQE, Dr Janefer Voo, 32, yang menerima Zara dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 4.38 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami bengkak dan pendarahan di bahagian belakang kepala, patah tertutup pada pergelangan tangan kiri, patah terbuka pada pergelangan kaki kiri serta patah tertutup pada pergelangan kaki kanan.
“Berdasarkan penilaian saya, pesakit disyaki mengalami kecederaan otak trauma yang serius selain kecederaan pada bahagian kepala, pergelangan tangan dan kedua-dua pergelangan kaki
“Disebabkan tekanan darah yang sangat rendah, pesakit turut disyaki mengalami pendarahan dalaman akibat trauma ‘impak tinggi’ pada badan. Namun tiada sebarang kesan lebam atau tanda penderaan dikesan,” katanya ketika membacakan kenyataan saksi di hadapan Mahkamah Koroner di sini.
Dr Voo berkata, susulan itu, “Trauma Alert” diaktifkan pada jam 4.42 pagi bagi rujukan segera kepada pasukan Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan dan Anestesiologi.
Selepas proses resusitasi dan pengimejan dijalankan, katanya, pesakit disahkan mengalami pendarahan dalam otak, patah terbuka pada pergelangan kaki kiri dan tumit kiri, patah tertutup pada lengan kiri dan kaki kanan, patah pada tulang lumbar vertebrae 2, 3 dan 4, serta pembekuan darah pada tulang pelvis dan otot psoas kiri.
Dr Voo yang merupakan pegawai perubatan pelatih dari Hospital Universiti Malaysia Sabah (UMS) ditempatkan di HQE, turut menandatangani kenyataan saksi selepas diminta oleh pegawai penyelaras inkues, Datuk Badiuszaman Ahmad.



