31 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 14, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Inisiatif Luar Biasa Untuk Bantu Pelajar Sabah

Hajiji (kanan) ketika mendatangani perasmian Dewan SK Bundung yang baharu sambil diperhatikan oleh Jahid (kiri).

TUARAN: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang belum pernah berlaku sebelum ini bagi membantu pelajar di bawah agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Belum pernah sebelum ini begitu banyak inisiatif dilaksanakan untuk pembangunan modal insan dan pendidikan di negeri ini. Dalam tempoh hampir lima tahun, kita telah membelanjakan RM1.33 bilion bagi tujuan ini,” katanya ketika merasmikan Dewan SK Bundung yang dinamakan sempena nama beliau di Topokon, disini, pada Khamis.

Hajiji berkata biasiswa negeri yang diagihkan kepada pelajar tahun ini turut meningkat kepada RM138 juta berbanding kira-kira RM50 juta sebelum ini.

“Namun jumlah ini masih belum mencukupi dan saya telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri menambah peruntukan tahun depan supaya lebih ramai pelajar cemerlang Sabah dapat menikmati bantuan ini,” jelasnya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga menyediakan bantuan tunai RM200 kepada kira-kira 40,000 pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dan STPM setiap tahun.

“Saya faham dalam kalangan 40,000 pelajar ini ada yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan. Saya masih ingat ketika hendak menduduki peperiksaan LCE (Lower Cambridge Examination) pada tahun 1971, ibu saya terpaksa meminjam wang daripada saudara-mara untuk membayar yuran peperiksaan sebanyak RM15. Jadi saya amat memahami kesukaran itu,” ujarnya.

Beliau menegaskan pembangunan modal insan dan pendidikan akan terus menjadi keutamaan utama Kerajaan Negeri.

“Pembangunan modal insan dan pendidikan merupakan tumpuan utama di bawah Hala Tuju SMJ. Kita telah mencapai kemajuan ketara dalam sektor pertanian, pelancongan dan perindustrian, namun perjuangan kita tidak lengkap jika gagal membangunkan sektor pendidikan,” katanya.

Hajiji turut menggesa para guru membantu menyampaikan maklumat tepat mengenai dasar serta program pembangunan kerajaan.

“Jangan terpengaruh dengan fitnah dan pembohongan pihak pembangkang. Mereka tidak nampak semua pencapaian Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata rekod pencapaian Kerajaan Negeri dalam menarik pelaburan berimpak tinggi ke Sabah dan mewujudkan peluang pekerjaan sudah terbukti.

“Kalau betul kita buat salah, kenapa begitu ramai pelabur datang ke Sabah. Terbaharu ialah syarikat dari Singapura yang akan melabur RM31 bilion dalam tiga fasa di Sipitang,” katanya.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyaksikan pemotongan kek perpisahan bagi meraikan persaraan Guru Besar SK Bundung, Grace Subramaniam.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Panglima Jahid Jahim./Penerangan



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN