Sesi bergambar Ahli Lembaga Pengarah IDS bersama Azizah.
KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) berhasrat menjadi institut penyelidikan pembangunan sosioekonomi Malaysia.
Pengerusi IDS, Datuk Seri Panglima Azizah Dun berkata, meskipun bukan perkara mudah namun semangat dan kerjasama antara semua mampu mewujudkan hasrat tersebut.
“Impian ini boleh direalisasikan dengan komitmen yang tinggi, kerja keras serta usaha yang gigih serta terus bekerja dengan penuh dedikasi daripada seluruh warga IDS.
“Dengan kerjasama yang kuat, IDS mampu mencapai ke tahap yang lebih tinggi, bukan sahaja sebagai institusi penyelidikan yang dihormati bahkan menjadi sebagai peneraju transformasi sosioekonomi yang boleh membawa manfaat kepada Sabah.
“Saya percaya asas kepada kejayaan sesebuah organisasi adalah hasil kekuatan kerja berpasukan dalam memikul tanggungjawab penting bagi membawa IDS ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 kepada pegawai serta kakitangan IDS di Dewan IDS, Penampang pada Khamis.
Azizah turut mengulas pencapaian cemerlang IDS pada tahun 2024 yang perlu diteruskan dengan beberapa penambahbaikan bagi membantu memajukan daerah termiskin.
“Pencapaian tahun 2024 perlu diberi perhatian dan dalam masa yang sama inisiatif dan program yang memberi manfaat kepada negeri dan rakyat Sabah perlu dipertingkatkan lagi.
“IDS sebagai Agensi Pemikir Utama kerajaan negeri perlu melaksanakan kajian strategik bagi mengenal pasti punca utama mengapa masih terdapat beberapa daerah di Sabah sebagai daerah termiskin.
“Kajian menyeluruh yang lebih komprehensif dan teliti perlu dilaksanakan untuk merangka penyelesaian yang lebih praktikal dan berkesan bagi membantu daerah-daerah tersebut keluar dari senarai daerah termiskin di Malaysia seterusnya mencipta perubahan kepada rakyat di kawasan tersebut.
“Tumpuan dengan pelaksanaan kajian boleh memberikan impak besar kepada kerajaan negeri seterusnya rakyat Sabah dalam usaha memperkukuhkan pendapatan rakyat secara keseluruhan seterusnya menyumbang kepada peningkatan pendapatan negeri,” katanya.
Di samping itu, beliau berharap lebih ramai penyertaan wanita terlibat dalam proses membuat keputusan sekaligus memperkukuhkan peranan wanita dalam pembangunan ekonomi, khususnya keusahawanan wanita.
“Aspirasi penubuhan Kementerian Wanita adalah langkah penting bagi memastikan agenda pemerkasaan wanita diberi perhatian serius dan diarusperdanakan di peringkat tinggi.
“Justeru, ini memerlukan kerjasama erat semua pihak bagi mencapai perubahan bermakna yang membawa manfaat kepada wanita dan masyarakat di Sabah keseluruhannya,” jelasnya.
Azizah yang mengemudi IDS genap setahun pada Disember lepas berharap agar warga IDS akan bertindak lebih proaktif dalam memastikan usaha dan kerja akan dapat dijalankan dengan teratur, cekap dan berkesan.