HAJI YUSOF (tiga kanan) dan Mohd Nizam (dua kiri) bersama AJK PIBG SMK Labuan bagi Sesi 2022/2024.
LABUAN:Usahawan Kontraktor, Haji Yusof Haji Chuchu sekali lagi mengekalkan jawatannya sebagai Yang DiPertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Labuan bagi Sesi 2022/2024.
Beliau berjaya mengekalkan jawatan itu pada Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-24 Tahun 2022 yang diadakan di Dewan Mutiara pada Sabtu lalu.
Naib YDP pula disandang oleh Susanna Koh yang berjaya menewaskan tiga calon lain.
Sementara itu, empat AJK dalam kalangan ibu bapa turut terpilih menganggotai PIBG melalui undi majoriti.
Mereka ialah Dr. Emily Yapp Hon Tshin, Nordin Ahmad, Junaidi Omar dan Rohayati Othman.
Manakala semua AJK dalam kalangan guru yang melibatkan jawatan Setiausaha (Normazrena Kadam), Penolong Setiausaha (Fazlinah Razali) Bendahari (Teng How Ching) dan Penolong Bendahari (Junaidah Amat Sah) terus dikekalkan untuk sepanggal lagi.
Sebahagian ibu bapa yang menghadiri Mesyuarat Agung PIBG SMK Labuan 2022.
Turut dikekalkan AJK Guru untuk sesi 2022-2024 itu ialah Asnur Liza Baharuddin, Noorul Syarhida Nurul Hadi, Rafidah Md Pee, Ustaz Jailani Muda dan Yusrin Ahmad.
Manakala Juru Audit Dalaman pula disandang Junaidi Omar (AJK Ibu Bapa) dan Zunaidah Haji Matiasin (Guru).
Mesyuarat Agung Tahunan PIBG yang dihadiri 300 ibu bapa itu telah dirasmikan oleh Pengetua SMK Labuan Mohd Nizam Yassin.
Yang DiPertua (YDP) PIBG, Haji Yusof Haji Chuchu, berkata mesyuarat kali ini melibatkan pemilihan ahli jawatankuasa baharu bagi mewakili ibu bapa dalam persatuan tersebut.
“Selain itu, mesyuarat ini juga menetapkan kadar sumbangan keluarga bagi murid-murid yang bersekolah di SMK Labuan bagi membolehkan PIBG membantu pihak sekolah dalam apa jua aktiviti,”ujar beliau lagi.
Sementara itu, Mohd Nizam ketika berucap menyeru agar ibu bapa terus memberi sokongan dan kerjasama padu dalam menjayakan agenda pendidikan negara.
“Disiplin tinggi seperti menepati masa dan akur peraturan sekolah perlu diterapkan ke dalam diri anak-anak kita supaya mereka membesar menjadi insan yang baik dan berguna,”katanya.
Mohd Nizam turut menyeru kepada ibu bapa agar menaruh kepercayaan kepada sistem pendidikan negara sepenuhnya dalam memberi pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa kepada anak-anak.
Turut hadir wakil Jabatan Pendidikan Labuan, Nurul Ain Hamdan dan Penolong Pengurus Bank Rakyat Cawangan Labuan, Jasmin Amsyir.
Pada ketika ini, SMK Labuan mempunyai 129 guru dan 1,568 pelajar Tingkatan Satu hingga Enam.