TERIMA KASIH …. Jahid (kiri) menerima cenderahati daripada MGBNS yang disampaikan Timbalan Pengarah JPN Sabah, Abidin Marjan (tengah) sambil disaksikan Kasbulah (kanan).
KOTA KINABALU: Guru-guru besar disaran agar mendekati para pemimpin rakyat di kawasan masing-masing agar sekolah mereka sentiasa dapat dibantu dalam pelbagai sudut.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, sebagai ketua di sekolah masing-masing, para guru besar perlu mengambil inisiatif mendekati para pemimpin rakyat, sama ada secara formal atau pun tidak formal.
“Ini penting supaya banyak perkara dan keperluan di sekolah boleh dibantu oleh mana-mana pemimpin di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Jasamu Dikenang Sempena Mesyuarat Majlis Guru Besar Negeri Sabah (MGBNS) Bil/2021 di Hotel Lintas Platinum, Kota Kinabalu semalam.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Abidin Marjan dan para Ahli Majlis Tertinggi MGBNS.
Menurut Jahid, kolaborasi dan hubungan rapat antara guru besar dengan pemimpin amat penting bagi membolehkan banyak perkara dapat dipermudahkan.
“Guru besar membantu dalam pembangunan insan melalui pendidikan, manakala kami sebagai pemimpin pula akan berusaha menokok tambah apa yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah,” katanya.
Beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, berkata, guru besar merupakan pemimpin yang menjadi contoh, dengan memberi sepenuhnya inisiatif untuk menjulang kecemerlangan pendidikan di sekolah yang dipimpin mereka.
Bercakap mengenai program tersebut, beliau berkata, cabaran guru kini semakin hebat dan mencabar, apatah lagi ketika Pandemik Covid-19, di mana guru-guru kini terpaksa menggunakan keupayaan dan kemodenan gajet-gajet baharu untuk mendidik pelajar.
Jahid turut meluluskan sumbangan sebanyak RM15,000 kepada MGBNS bagi melaksanakan program Tabung Dana Program Kecemerlangan Akademik MGB Negeri Sabah.
Terdahulu, Yang Dipertua MGBNS, yang juga Guru Besar SK Pekan Putatan, Kasbulah Mangun, berkata, tujuan majlis berkenaan diadakan adalah bagi membuat pemurnian perlembagaan MGBNS, di samping berpeluang mendengar taklimat mengenai maklumat terbaharu daripada sektor-sektor di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Menurutnya, sepanjang program, sebanyak empat slot telah disampaikan iaitu Sektor Pengurusan Sekolah, Sektor Pengurusan Murid, Sektor Pengurusan Perancangan, dan Sektor Kewangan, dan berharap agar segala maklumat itu kelak selari dan seragam di setiap sekolah di Sabah.
Tambah beliau, majlis tersebut diadakan bagi meraikan lima mantan Exco Majlis Guru Besar Sabah, di mana salah seorang daripadanya merupakan mantan Pengerusi MGBNS sendiri.
Untuk rekod, MGBNS mempunyai seramai 1,069 ahli dalam kalangan guru-guru besar dari 24 daerah di Sabah.