ADVERTISEMENTspot_img

GRS tepis retorik politik Bersatu, fokus teruskan agenda Sabah Maju Jaya

NIZAM



KOTA KINABALU: Gagasan Rakyat Sabah (GRS) menolak kenyataan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee, yang mendakwa kerajaan negeri kononnya menghidap “penyakit lima serangkai”, dengan menyifatkannya sebagai retorik politik kosong tanpa penyelesaian untuk rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas merangkap Ketua Penerangan GRS, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan, berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, telah melaksanakan pelan pembangunan nyata melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan terhadap infrastruktur asas, peluang pekerjaan dan peningkatan hasil negeri.

“Memang benar Sabah berdepan cabaran besar termasuk isu air, elektrik dan pembangunan tanah. Tetapi berbeza dengan politik serangan semata-mata, kerajaan negeri memilih pendekatan menyelesaikan masalah dengan tindakan nyata

“Cabaran ini adalah legasi berpuluh tahun, bukan sesuatu yang boleh selesai dengan retorik politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kenyataan Ronald yang membangkitkan semangat “angkat senjata politik” jelas menggambarkan budaya konfrontasi dan memperlihatkan agenda Perikatan Nasional (PN) yang mahu menjadikan Sabah sekadar batu loncatan untuk menguasai Putrajaya.

“Ronald sendiri mengakui kemenangan di Sabah hanya permulaan kemenangan PN di Semenanjung. Ini menunjukkan Sabah bukanlah matlamat perjuangan mereka, tetapi sekadar medan percubaan kuasa,” ujarnya.

Datuk Nizam turut mengingatkan bahawa ketika Bersatu menerajui kerajaan pusat, isu-isu besar rakyat Sabah termasuk pelaksanaan penuh hak MA63 tidak diberikan perhatian sewajarnya. Katanya, kegagalan itu membuktikan peluang yang ada tidak dimanfaatkan untuk membawa perubahan kepada rakyat negeri ini.

“Mereka hanya kembali dengan janji baharu selepas hilang kuasa, tetapi hakikatnya ia tidak lebih daripada pengulangan kegagalan lama,” tegasnya.

Beliau menambah, PN sendiri berdepan pergolakan dalaman dengan teguran terbuka PAS terhadap tindakan Bersatu yang kerap membuat keputusan tanpa konsensus, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemampuan gabungan itu menjanjikan kestabilan kepada Sabah.

“Bagaimana mahu menjanjikan kestabilan, sedangkan dalam PN sendiri wujud keretakan? Malah penganalisis politik menyebut PN masih mencari pusat graviti mereka,” katanya.

Datuk Nizam turut menolak dakwaan bahawa Sabah hanya akan dibantu sekiranya Bersatu kembali berkuasa, kerana hakikatnya kerajaan negeri hari ini telah pun menerima sokongan daripada Kerajaan Persekutuan dalam bentuk peruntukan pembangunan, projek infrastruktur dan komitmen melaksanakan MA63.

“GRS menolak politik ugutan dan dendam. Rakyat Sabah matang menilai siapa benar-benar bekerja untuk mereka, dan siapa yang hanya mahu menjadikan negeri ini batu loncatan kuasa ke Putrajaya,” katanya sambil mengingatkan kembali insiden PRU15 di mana Ronald Kiandee didakwa pernah mendesak agar menjadi calon GRS, namun gagal.

Datuk Nizam menegaskan bahawa GRS kekal fokus membawa kestabilan, konsistensi dan pembangunan demi masa depan rakyat Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN