KOTA KINABALU: Mesyuarat Majlis Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sri Gaya malam tadi menyaksikan perbincangan hangat berhubung cadangan menjalin kerjasama pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Menurut sumber dalaman, sekurang-kurangnya enam parti komponen GRS menyatakan persetujuan awal untuk bekerjasama dengan PH demi memastikan kestabilan dan pembahagian kerusi yang lebih strategik. Parti-parti tersebut ialah Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Liberal Democratic Party (LDP), Parti Cinta Sabah (PCS) dan satu lagi parti kecil dalam gabungan.
Namun, dua parti – Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Sabah Progressive Party (SAPP) – dikatakan mengambil pendirian tegas untuk GRS bertanding secara solo, dengan alasan mempertahankan autonomi politik dan identiti gabungan tanpa bergantung kepada rakan luar.
Walaupun berlaku percanggahan pandangan, suasana mesyuarat dilaporkan berlangsung dalam suasana harmoni dan saling menghormati, dengan pimpinan parti menekankan semangat kekeluargaan dalam membuat keputusan bersama.
Difahamkan, satu formula awal sedang dirangka, di mana GRS dijangka bertanding di 55 kerusi, manakala PH diperuntukkan 18 kerusi. Bagaimanapun, angka itu masih tertakluk kepada perbincangan lanjut kerana PH difahamkan menuntut antara 21 hingga 23 kerusi.
Pakatan Harapan Sabah terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan setakat ini, namun pemerhati politik melihat sikap STAR dan SAPP sebagai faktor penentu hala tuju rundingan antara GRS dan PH. Ketegasan keduanya dilihat memberi isyarat bahawa sebarang kerjasama perlu mengambil kira kepentingan politik tempatan dan kedudukan blok GRS sebagai gabungan dominan.
Perkembangan lanjut dan keputusan muktamad dijangka dimuktamadkan dalam mesyuarat seterusnya selepas perundingan dengan pimpinan PH Sabah. -Sumber: Jaringan Borneo



