FPP UMS Jayakan Seminar Psikologi Borneo Kali Pertama Secara Maya

FPP UMS Jayakan Seminar Psikologi Borneo Kali Pertama Secara Maya

24/09/2021 Off By LEO KENZO

Antara pengasas dan jawatankuasa dalam Persatuan Psikososial Sabah yang telah diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Sabah pada 18 Ogos lalu.

KOTA KINABALU: Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjayakan Seminar Psikologi Borneo Kali Pertama 2021 (BorneoPsy 2021) secara maya baru-baru ini.

Bertemakan “Kesejahteraan Psikologi Dalam Komuniti Borneo”, seminar tersebut diadakan bertujuan sebagai platform kepada para penyelidik, pensyarah, pelajar, pengamal, profesional dari pelbagai bidang psikologi dan sains kemanusiaan untuk membentang dan membincang hasil penyelidikan, bertukar idea serta berkongsi pengalaman mereka mengenai pelbagai aspek psikologi khususnya psikologi berkenaan peribumi di Borneo.

Seminar yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan seramai 102 peserta universiti awam dan swasta serta dari institusi lain di seluruh Malaysia.

Pada hari pertama, sejumlah 60 kertas kerja hasil kajian yang telah dijalankan dalam pelbagai bidang Psikologi Sosial, Psikologi Industri dan Organisasi, Psikologi Perkembangan, Psikologi Kaunseling, dan Psikologi Pendidikan telah dibentangkan oleh para peserta.

Kertas kerja peserta yang terpilih juga akan diterbitkan dalam buku prosiding seminar dan dalam buku “Psikologi Masyarakat Borneo”.

Antara peserta Seminar Psikologi Borneo Kali Pertama 2021 secara maya.

Selain itu, turut berlangsung ucaptama bertajuk Pandemik Covid-19 dan Kesihatan Mental: Isu dan Cabaran yang disampaikan oleh Profesor di Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Low Wah Yun, dan ucaptama bertajuk Cultural and Familial Aspects of Anxiety in Children and Adolescents: Implications for Prevention yang disampaikan oleh Profesor di Jabatan Psikologi, University of Roehampton, London, United Kingdom, Prof. Dr. Cecilia A. Essau.

Hari kedua seminar tersebut diadakan sesi pengenalan Persatuan Psikososial Sabah (PPS) yang baru ditubuhkan dan telah diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Sabah pada 18 Ogos lalu.

Ditubuhkan sebagai satu pertubuhan profesional bukan kerajaan (NGO), persatuan tersebut adalah atas usaha dan inisiatif beberapa orang ahli psikologi dari pelbagai bidang psikologi di FPP UMS, dengan Prof. Madya Dr. Chua Bee Seok dilantik sebagai Pengerusi Persatuan, manakala, Timbalan Pengerusi ialah Dr. Getrude Cosmas, dan Prof. Dr. Murnizam Hj. Halik dilantik sebagai penasihat PPS.

Matlamat penubuhan persatuan tersebut antara lain bagi menggalakkan perkongsian ilmu dan kepakaran, memperkenalkan dan mengembangkan ilmu psikologi, menjalankan penyelidikan dan menghasilkan penerbitan, menjalankan program komuniti, memberi bantuan dana pendidikan kepada pelajar Borneo terpilih dalam bidang psikologi, dan mewujudkan kerjasama dengan badan kerajaan dan NGO dalam usaha untuk membangunkan komuniti di Sabah dan rantau Asia.

Justeru, PPS mengalu-alukan penyertaan orang ramai dalam persatuan tersebut bagi menyumbang kepada perkembangan bidang psikologi dan memberi khidmat kepada masyarakat.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkenaan persatuan ini boleh e-mel kepada persatuanpsikososialsabah@gmail.com dan jika berminat menjadi ahli kepada persatuan, sila isi borang keahlian persatuan pada pautan: https://forms.gle/ad7zSpThBzKEaECc7