Japlin ketika ditemubual
KOTA KINABALU, 31 Julai- Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2025 bakal berlangsung dengan penuh warna-warni budaya dan kesatuan rakyat Sabah selama empat hari bermula 7 hingga 10 Ogos 2025 bertempat di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.
Dalam temuramah khas bersama SabahFM hari ini, Naib Presiden Persatuan Bajausama Sabah, Datuk Japlin Akim menjelaskan bahawa festival ini bertujuan menjadi platform pemerkasaan warisan, selain mengukuhkan perpaduan antara kaum dan etnik di negeri ini.
“Festival ini akan mengetengahkan kekayaan budaya, adat resam dan tradisi masyarakat Bajausama yang unik dan menarik. Ia juga selaras dengan usaha untuk mempromosikan budaya tempatan ke peringkat antarabangsa,” ujar beliau.
Majlis perasmian festival ini akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, dan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Mohd Noor.
Pelbagai program dan aktiviti menarik akan diadakan sepanjang festival, antaranya:
Pameran dan Jualan Produk Kraftangan
Pertandingan Ratu Serimpak
Jualan, Demonstrasi dan Pameran Citarasa Warisan Sabah
Pertandingan Betitik
Pertandingan Fotografi Digital Makanan
Aktiviti-aktiviti komuniti, bengkel dan demonstrasi warisan
Program ini turut disokong oleh pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan penyertaan menyeluruh daripada masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum, bangsa, agama dan fahaman politik.
Sebagai tambahan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah akan turut menganjurkan Festival Cita Rasa Warisan @Sabah 2025 bersempena festival ini. Antara tarikan utama ialah demonstrasi masakan tradisional oleh chef-chef terkenal negara.
Datuk Japlin menekankan bahawa penganjuran festival ini dapat membuka ruang kepada rakyat untuk saling mengenali dan menghormati budaya antara satu sama lain. Ia sekaligus memperkukuh semangat toleransi dan perpaduan melalui warisan budaya yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu.
Festival ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, umur atau agama. Kehadiran rakyat Malaysia dari seluruh negara amat dialu-alukan untuk turut serta memeriahkan acara ini. Orang ramai juga berpeluang menyertai aktiviti-aktiviti berfaedah seperti bengkel seni, sesi pembelajaran budaya dan demonstrasi masakan warisan.
Maklumat lanjut mengenai festival ini boleh diperoleh melalui saluran rasmi seperti:
Portal Facebook Jabatan Penerangan Sabah
Facebook & TikTok Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC)
RTM, Bernama serta media tempatan lain
Penganjur berharap agar seluruh rakyat Sabah dan Malaysia amnya dapat melibatkan diri dalam festival ini dan bersama-sama mengangkat warisan budaya tempatan sebagai kebanggaan negeri dan negara.
“Bah! Tunggu apa lagi? Jangan lupa bawa kawan-kawan dan keluarga. Setemu jo kita mea aaa, jumpa di sana!” – Datuk Japlin Akim.



