27 C
Kota Kinabalu
Ahad, Mac 16, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Ewon Cadang Lembaga Pembangunan Luar Bandar Sabah Diwujudkan di Bawah KPLB Sabah

OLEH: MARRYAN RAZAN


 
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick mengsyorkan supaya sebuah agensi atau badan berkanun dikenali sebagai Lembaga Pembangunan Luar Bandar Sabah diwujudkan di bawah kementeriannya.
 
Beliau berkata, ini penting bagi memperkasakan lagi urustadbir Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah seterusnya melipatgandakan usaha dan fokus dalam usaha menurunkan kadar kemiskinan serta sasaran pembangunan infra asas, ameniti sosial dan modal insan komuniti luar bandar.
 
“KPLB Sabah mempunyai banyak aset terutama kawasan tanah perkampungan Mini Estate Sejahtera (MESEJ) dan Agropolitan di mana hak milik tanah diwartakan kepada KPLB Sabah.
 
“Aset-aset ini bertujuan untuk menyusun semula komuniti luar bandar yang tersenarai dalam sistem e-Kasih agar dapat menikmati pembangunan dan terkeluar daripada kepompong kemiskinan.
 
“Oleh itu saya berpendapat perlu ada agensi khusus yang memfokus kepada usaha-usaha pembasmian kemiskinan dan pembangunan aset ini kerana saya melihat pejabat daerah mempunyai tanggungan kerja yang sangat banyak bukan hanya menjadi urusetia kepada program-program kerajaan, tetapi juga melaksanakan pelbagai jenis peruntukan pembangunan lain dalam daerah, termasuk peruntukan Wakil-Wakil Rakyat,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah ke-24 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, di Pacific Sutera Hotel, di sini, hari ini.
 
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, secara rasminya, beliau telah mengemukakan pandangan itu secara bertulis kepada Ketua Menteri dan telah memaklumkan perkara itu dengan pihak KPLB Persekutuan. 
 
“Saya difahamkan bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri sebelum ini telah mempengerusikan dua mesyuarat berkaitan syor tersebut. Saya amat yakin Ketua Menteri memahami cabaran atau “handicap” yang kami hadapi di KPLB Sabah.

Shafie diiringi Ewon,Madius dan kenamaan lain ketika tiba di majlis itu

“Saya berpendapat bahawa beberapa perkara yang dibincangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri (JTPN) Sabah juga boleh ditadbir-urus dengan lebih baik dengan adanya sebuah agensi khusus di bawah KPLB Sabah,” katanya.
 
Pada masa yang sama, Ewon turut memohon agar peruntukan yang lebih besar disalurkan kepada KPLB Sabah sama ada semasa Belanjawan Tambahan atau Belanjawan Tahunan di bawah siling yang lebih besar dalam RMK-12.
 
“Dengan ini, saya yakin, kita bukan hanya dapat merealisasikan KPI yang telah digariskan, tetapi membantu merealisasikan wawasan kerajaan negeri agar kesimbangan pembangunan dapat dinikmati oleh komuniti luar bandar di seluruh Sabah,” katanya.
 
Mengenai prestasi pegawai-pegawai dan penolong-penolong pegawai daerah di negeri ini, Ewon berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi para pegawai itu dan berharap mereka dapat meneruskan perkhidmatan terbaik kepada rakyat luar bandar.
 
“Saya sendiri mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai daerah dari masa ke semasa untuk memastikan kelancaran aspirasi pimpinan kerajaan dapat dilaksanakan di akar umbi.
 
“KPLB Sabah dan pejabat daerah sentiasa terbuka menerima teguran dan cadangan daripada pucuk pimpinan, Wakil-Wakil Rakyat dan rakyat jelata serta sentiasa mengambil langkah pro-aktif untuk menambahbaik urustabdir kementerian dan pejabat daerah,” katanya.

Shafie (tengah) ketika melancarkan Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah.

Beliau berkata, bermula Januari 2020, Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) daripada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah telah ditempatkan di semua pejabat daerah dan kini para pegawai daerah serta penolong pegawai daerah mempunyai fokus kepada tugas hakiki sebagai ketua eksekutif negeri di peringkat daerah.
 
“Saya juga mencadangkan agar jawatan baharu diwujudkan di semua pejabat daerah bagi mengurus data-data kemiskinan, program-program verifikasi kemiskinan dan menyelaras pembangunan rakyat termiskin di daerah.
 
“Isu kemiskinan masih merupakan satu cabaran besar kepada kerajaan. Justeru dengan adanya penempatan pegawai ini, saya percaya usaha membela komuniti rakyat termiskin dapat ditadbir-urus dengan lebih baik,” katanya.

Shafie, Ewon dan para jemputan bergambar bersama pegawai-pegawai daerah yang menghadiri persidangan itu.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Madius Tangau dan Datuk Christina Liew, menteri-menteri kabinet, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis dan Hj.Dumi Masdal, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Haji Safar Untong, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan serta para pegawai daerah.-TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN