BANTUAN…. Dr Fary (kiri) bersama Mohd Hakemal (kanan) menyerahkan bantuan kerusi roda kepada Salmah sambil diperhatikan Ansharey (dua dari kanan)
LABUAN: Empat klien Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan yang juga pesakit terlantar menerima sumbangan peralatan sokongan sumbangan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan Labuan sempena program Kembara Prihatin Negara peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan pada Sabtu.
Majlis penyerahan sumbangan bantuan peralatan itu telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman yang turun padang bersama pemimpin tempatan untuk menyantuni penerima bantuan berkenaan di kediaman mereka masing masing.
Mereka yang menerima bantuan peralatan sokongan itu ialah Mohammed Saad Soyut menerima katil boleh laras, Jumat Tahir (kerusi roda), Khamis Jayus (tongkat/walking frame) dan Salmah Tapa menerima kerusi roda.

SIMBOLIK… Dr Fary (empat dari kiri) bersama Ansharey (tiga dari kanan) melekatkan logo Kembara Prihatin Negara di salah sebuah kenderaan baharu JKM sempena pelancaran Kembara Prihatin Negara peringkat Labuan
Terdahulu sebelum itu, Dr Fary telah melancarkan Program Kembara Prihatin Negara peringkat Labuan dengan melekatkan logo Kembara Prihatin Negara di dua buah kenderaan baharu JKM yang diadakan di Kompleks Lembaga Ikan Malaysia (LKIM) Labuan di Kiansam.
Turut diadakan pada majlis itu penyampaian Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan kepada 9 ahli nelayan sumbangan LKIM Labuan, penyampaian bantuan peralatan sekolah kepada 100 pelajar sumbangan Syarikat Asian Supply Base (ASB) Labuan dan sumbangan Bakul Makanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan, Ansharey Matarsad ketika ditemui berkata, Program Kembara Prihatin Negara yang bertemakan ‘Tautan Sepakat Membantu Rakyat” anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bertujuan untuk menyantuni rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID 19 selain menyebar luas perkhidmatan dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Katanya, KPWKM mensasar 1 juta individu bakal menerima manfaat dari aktiviti yang dijalankan sepanjang Kembara Prihatin Negara berlangsung.
Hadir sama pada majlis itu Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Ikan Malaysia, Azib Yaakob, Pengarah Lembaga Ikan Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd. Faisal Ab. Ghadin, Penolong Pengurus Besar Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Labuan, Mohd. Hakemal Hussain, Ketua Jabatan Perkhidmatan Korporat ASB Sdn. Bhd, Idris Mohammad dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab. Manan.