Musnah…ruang pejabat Navy Guard LSE yang terbakar.
LABUAN: Dua kebakaran berasingan telah berlaku di pulau ini dalam tempoh kurang 2 jam melibatkan sebuah pejabat dan sebuah rumah penduduk kampung pada awal pagi Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Abdul Rahman Ali berkata, kebakaran pertama melibatkan pejabat Navy Guard Labuan Shipyard LSE) Sdn Bhd.Beliau berkata, pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan pada jam 3.31pagi.
“Seramai 16 anggota bomba bersama dua buah jentera dari Balai Bomba Rancha Rancha telah digerakkan ketempat kejadian dan setibanya dilokasi 40 peratus pejabat berkenaan telah hangus.
“Api berjaya dikawal sepenuh daripada terus merebak pada jam 4.03 pagi”, katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Hangus…keadaan rumah yang terbakar dalam kejadian awal pagi Isnin.
Manakala satu lagi kebakaran katanya, berlaku selang kurang dua jam daripada kejadian pertama melibatkan sebuah rumah di Kampung Ganggarak.
“Pihak Bomba menerima panggilan pada jam 4.58 pagi dan sebaik tiba di lokasi 40 peratus rumah tersebut telah hangus, namun tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian tersebut”, katanya.
Abdul Rahman berkata, seramai 13 anggota bersama tiga buah jentera dari Balai Bomba Labuan Sentral telah bergegas ke lokasi.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.23 pagi.Punca kejadian kedua dua kebakaran masih dalam siasatan.