Dr. Joachim tengah, Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Elopura, Datuk Awang Kadin Tang (enam dari kiri), merakamkan gambar kenangan di Pasar Bandar Kim Fung.
SANDAKAN: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyertai program “walkabout” sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba, di sini hari ini.
Program “walkabout” PBS ini dianjurkan secara bersama oleh tiga Ketua Bahagian, iaitu PBS Bahagian Tanjong Papat yang diketuai oleh David Ong, PBS Bahagian Karamunting yang diketuai oleh David Fong, dan PBS Bahagian Elopura yang diketuai oleh Datuk Linda Tsen, yang juga Ahli Majlis Tertinggi PBS.
Dr. Joachim bersama semua yang terlibat dalam program tersebut telah berkunjung ke tiga lokasi utama, iaitu Pasar Bandar Ramai, Pasar Taman Mawar dan Pasar Kim Fung.
Dalam lawatan ini, Dr. Joachim menyantuni masyarakat Tionghua yang menjalankan perniagaan dan para pengunjung yang berada di pasar-pasar tersebut.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua ahli PBS yang hadir serta menghargai komitmen Ketua-ketua Bahagian yang menjayakan program ini.
“Setiap tahun menjelang Tahun Baharu Cina, kita akan mengadakan program seperti ini. Esok, program yang sama akan diadakan di Kota Kinabalu,” ujar Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu.
Selain menyantuni para peniaga, Dr. Joachim turut menyampaikan limau mandarin dan kalendar Tahun Baharu Cina kepada para pengunjung.
Turut serta dalam program tersebut ialah Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai; Bendahari PBS, Datuk Lu Kim Yen; Naib Presiden, Datuk Hendrus Anding; Penolong Setiausaha Agung, Datuk Jonnybone Kurum; Ketua Pemuda PBS, Christoper Mandut; rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah, serta para Ketua Bahagian PBS.
PBS turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua masyarakat Tionghoa di seluruh Sabah dan di mana sahaja mereka berada.