Romzie menunjukan baju sekolah SK Pekan Ranau yang siap disulam.
RANAU: Sebelum namanya dikenali sebagai antara usahawan tempatan dalam bidang percetakan pakaian di daerah ini, Romzie Muhamad, 49, atau lebih mesra disapa Likad, terlebih dahulu melalui perjalanan hidup yang penuh warna.
Daripada seorang anak kampung yang membesar di Ranau, beliau menimba ilmu dalam bidang perakaunan, membina kerjaya dalam industri automotif di Semenanjung Malaysia, sebelum diberi peluang mempelajari teknologi robotik di Fujisawa, Tokyo, Jepun.
Namun, pengalaman itu akhirnya membawa beliau kembali ke tanah kelahiran untuk mencipta laluan sendiri dalam dunia keusahawanan.
Dilahirkan pada 27 Oktober 1977 di Kampung Sinarut Lama sebagai anak bongsu daripada sembilan beradik, Romzie menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Pekan Ranau sebelum meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh Ranau.
Selepas menamatkan persekolahan, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), Kelana Jaya, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, laluan kerjaya yang ditempuhnya kemudian membawanya ke bidang automotif apabila beliau menyertai sebuah syarikat dalam industri berkenaan di Semenanjung Malaysia.

TEMUBUAL…Romzie (kiri) ketika ditemubual wartawan BDB di premis DMK Collection.
Pengalaman bekerja dalam persekitaran korporat itu membuka peluang lebih besar apabila pada 2006, beliau terpilih mengikuti kursus dalam bidang robotik di Fujisawa, Tokyo, Jepun, selama enam bulan.
Bagi Romzie, pengalaman tersebut bukan sekadar peluang mempelajari teknologi baharu, malah menjadi titik penting dalam pembentukan disiplin dan cara beliau melihat dunia pekerjaan serta kehidupan.
“Ketika di Jepun, saya banyak belajar mengenai teknologi, disiplin dan sistem kerja. Pengalaman itu memberi perspektif yang berbeza kepada saya, terutama mengenai kepentingan ketepatan, kemahiran dan kesungguhan dalam melakukan sesuatu pekerjaan,” katanya kepada Borneo Daily Bulletin dalam temu bual eksklusif di premis perniagaannya di Kg.Takurik, di sini.
Selepas menamatkan kursus berkenaan, beliau meneruskan perkhidmatan dengan syarikat terbabit sebelum menamatkan kontrak selepas kira-kira lapan tahun.
Pada 2011, Romzie membuat keputusan untuk kembali ke kampung halaman.
Kepulangan itu bagaimanapun bukan sekadar untuk menetap bersama keluarga, sebaliknya beliau melihatnya sebagai peluang untuk memulakan lembaran baharu.

Romzie bersama salah seorang pekerja sedang menyiapkan tempahan pelanggan
Bermodalkan pengalaman, kemahiran dan keberanian untuk mencuba, beliau memulakan perniagaan perkhidmatan mencetak baju secara kecil-kecilan dari rumah kediamannya di Kampung Silou, Ranau.
“Saya pernah bekerja di Semenanjung dan mendapat peluang mengikuti kursus robotik di Jepun. Banyak pengalaman yang saya peroleh sepanjang bekerja dan mengikuti kursus itu.
“Apabila kembali ke Ranau pada 2011, saya fikir saya perlu cuba buat sesuatu sendiri. Dari situlah saya mula mencetak baju dari rumah,” katanya.
Apa yang bermula secara sederhana itu sedikit demi sedikit mendapat sambutan.
Permintaan pelanggan yang semakin meningkat akhirnya mendorong Romzie mengambil langkah lebih berani untuk mengembangkan operasi.
Pada 2020, beliau membuka premis sendiri di Kampung Takurik, berhampiran bulatan menuju Kampung Marakau.
Daripada ruang kecil di rumah, operasi perniagaannya kini berkembang menjadi sebuah perusahaan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan percetakan dan sulaman.
Perniagaan itu dinamakan DMK Collection, yang mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana nama DMK diambil daripada nama isterinya, Daphne Marina Kinson.
Pasangan yang berkahwin pada 2002 itu dikurniakan tiga cahaya mata, yang menurut Romzie menjadi antara sumber kekuatan dan motivasi utama beliau untuk terus membangunkan perniagaan.
Hari ini, DMK Collection menyediakan perkhidmatan termasuk percetakan baju, sulaman dan penyediaan kad kerja.
Pelanggan terdiri daripada pelbagai kelompok, termasuk jabatan dan agensi kerajaan, sekolah, persatuan, badan keagamaan serta orang perseorangan.
Lebih membanggakan, perkhidmatan DMK Collection kini tidak hanya tertumpu kepada pelanggan di Ranau, malah turut menerima tempahan dari daerah lain dan Semenanjung Malaysia.
Operasinya kini disokong dua pekerja serta tiga mesin sulam dan tiga mesin cetak jenis heat press.
Bagi Romzie, pengalaman dalam bidang automotif dan latihan robotik di Jepun tidak pernah dianggap sebagai pengalaman yang terpisah daripada kehidupan keusahawanannya.
Sebaliknya, semua pengalaman itu menjadi modal tidak ternilai dalam membentuk cara beliau mengurus perniagaan.
Menurutnya, bidang perniagaan memerlukan disiplin, ketepatan, komitmen dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan serta kehendak pelanggan.
“Saya rasa semua pengalaman yang saya lalui sebelum ini ada gunanya. Walaupun bidang perniagaan saya sekarang berbeza daripada pengajian dan pekerjaan terdahulu, pengalaman bekerja banyak mengajar saya mengenai disiplin dan cara mengurus sesuatu kerja,” katanya.
Lebih 15 tahun selepas memulakan langkah pertama dalam bidang percetakan, Romzie kini memasang impian lebih besar untuk meningkatkan kapasiti operasi DMK Collection.
Antara perancangannya ialah menambah mesin dan memperluaskan perkhidmatan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah.
Namun, lebih daripada soal keuntungan, beliau mempunyai satu impian yang lebih dekat di hati, membina sebuah legasi keluarga.
“Saya mahu terus mengembangkan perniagaan ini. Kalau ada kemampuan, saya mahu tambah mesin supaya dapat menerima lebih banyak tempahan.
“Harapan saya, suatu hari nanti anak-anak pula dapat meneruskan perniagaan ini. Biar apa yang kita bina hari ini menjadi legasi untuk mereka,” katanya.
Di sebalik kesibukan menguruskan perniagaan, Romzie tidak pernah meninggalkan minatnya terhadap bidang sukan, khususnya bola sepak.
Malah, sukan menjadi sebahagian penting dalam perjalanan hidupnya.
Beliau pernah menjadi pemain kesebelasan utama Kelab Bolasepak Clasico Ranau, selain memegang jawatan sebagai presiden kelab berkenaan.
Romzie turut pernah mewakili beberapa kelab bola sepak tempatan, negeri dan kebangsaan dalam kategori veteran.
Antara pencapaian yang cukup membanggakan ialah peluang mewakili pasukan Sabah sempena Pesta Bola Merdeka 2024.
Beliau juga pernah menjadi sebahagian daripada kesebelasan utama ABKA 7 yang menyertai liga bola sepak tempatan Sabah sempena Karnival Bola Sepak Terbuka 11 Sebelah Veteran Kimanis.
Penglibatannya dalam bola sepak turut membawanya ke pentas antarabangsa.
Pada 2019, beliau mewakili Malaysia Team, Kelab SS90s dalam kejohanan di Yangon, Myanmar, dan pasukan berkenaan berjaya meraih tempat ketiga.
Beliau kemudiannya mewakili Malaysia dalam Asia Championship (VWFF) 2023 di Jakarta, Indonesia, sebelum menyertai Malaysia Team (KK Veteran) pada kejohanan World Football Festival di Korea Selatan pada 2024.
Pengalaman tersebut menjadikan bola sepak bukan sekadar hobi, sebaliknya medan untuk menguji ketahanan fizikal, membina jaringan persahabatan dan membawa nama Sabah serta Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Minatnya terhadap sukan lasak turut terserlah dalam bidang berbasikal.

Gambar kiri: Romzie ketika mewakili pasukan Malaysia dalam satu pertandingan, manakala gambar kanan: Romzie bersama isteri tersayang ketika menyertai aktiviti berbasikal.
Romzie pernah menyertai ASEAN Mountain Bike Cup 2015 dan Asia Mountain Bike Series 2016, yang turut menyaksikan Ranau, Sabah menjadi tuan rumah.
Perjalanan Romzie Muhamad memperlihatkan bagaimana pengalaman hidup yang kelihatan berbeza akhirnya boleh bertemu pada satu titik.
Daripada belajar perakaunan, bekerja dalam industri automotif, menimba ilmu robotik di Jepun, pulang ke kampung dan bermula dengan mesin percetakan dari rumah, semuanya menjadi rangkaian pengalaman yang membentuk dirinya sebagai usahawan.
Lebih menarik, dunia perniagaan yang dibinanya turut berjalan seiring dengan kecintaannya terhadap sukan.
Bagi Romzie, kejayaan bukan semata-mata diukur melalui saiz premis atau jumlah mesin yang dimiliki, tetapi sejauh mana sesuatu yang dibina mampu bertahan dan memberi manfaat kepada keluarga serta generasi seterusnya.
Hari ini, mesin-mesin yang beroperasi di premis DMK Collection bukan sekadar menghasilkan baju, sulaman dan kad kerja. Ia menjadi simbol sebuah perjalanan, tentang keberanian untuk bermula dari bawah, kesanggupan meninggalkan zon selesa dan keyakinan bahawa sebuah perniagaan kecil dari kampung juga mampu berkembang menjadi legasi.
Daripada Kampung Silou, impian itu bermula. Dari Kampung Takurik, ia terus berkembang. Dan bagi Romzie, perjalanan membina legasi DMK Collection masih jauh daripada noktah.
Di antara bunyi mesin sulam yang terus beroperasi dan padang bola yang masih menjadi tempat beliau menumpahkan minat, terserlah satu persamaan iaitu semangat untuk terus bergerak ke hadapan.
Itulah kisah Romzie Muhamad, seorang anak Ranau yang pernah menimba ilmu robotik di Tokyo, tetapi akhirnya memilih untuk kembali ke tanah kelahiran dan membina masa depan dengan tangannya sendiri.



