ADVERTISEMENTspot_img

Cubaan mecuri kenderaan pacuan empat roda memakan diri

LABUAN: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian cubaan mencuri sebuah kenderaan pacuan empat roda Jenis Toyota Land Cruiser di Kampung Sungai Lada, memakan diri apabila berjaya ditangkap pada pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan Superitendan Mohd Hamizi mengesahkan suspek berjaya ditangkap oleh orang awam di kawasan Labuan International Golf Club selepas melarikan diri sebelum menyerahkanya ke balai polis kira kira jam 8.15 pagi.

Terdahulu sebelum Itu Mohd Hamizi berkata pada jam 10.29 pagi, pihak polis telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki berumur 63 tahun selepas mendapati kenderaan miliknya telah dicuri oleh seorang individu yang tidak dikenali.

“Siasatan awal mendapati pengadu telah meninggalkan kenderaan tersebut di lokasi kejadian lebih kurang jam 6.30 pagi dalam keadaan tidak berkunci lalu pergi ke laut untuk menangkap ikan”, katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Bagaimanapun dalam kejadian itu dua orang saksi awam yang berada berhampiran kejadian telah melihat seorang lelaki memasuki dan melarikan kenderaan tersebut kira kira jam 8 pagi.

Beliau berkata kedua-dua saksi kemudian bertindak mengejar suspek sehingga kenderaan yang dipandu suspek terbabas dan melanggar tiang elektrik.

“Suspek kemudiannya melarikan diri sebelum berjaya ditahan oleh orang awam di kawasan Labuan International Golf Club (LIGC) sebelum diserahkan kepada pihak polis kira-kira jam 8.15 pagi”, tambahnya.

Kenderaan yang bernilai lebih kurang RM 25,000 telah berjaya dirampas semula.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta boleh juga dikenakan denda.

Mohd Hamizi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan dengan memastikan kenderaan dikunci dengan sempurna dan tidak meninggalkan kunci di dalam kenderaan bagi mengelakkan kejadian kecurian.

Selain itu, beliau turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah boleh menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah dan mengekalkan keselamatan awam.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN