33 C
Kota Kinabalu
Khamis, September 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Buat kajian potensi tumbuh-tumbuhan, buah-buahan tempatan yang dipercayai mampu merawat Covid-19.

Datuk James Ratib

KOTA KINABALU: Pakar perubatan dan saintis tempatan disaran menjalankan kajian mendalam terhadap potensi beberapa jenis tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan tempatan yang dipercayai mampu mengurangkan kesan kesakitan akibat serangan virus Covid-19.

Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah, Datuk James Ratib berkata, pengalamannya sebagai bekas pesakit Covid-19 sebelum ini mengajar beliau untuk mencuba beberapa jenis herba yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan tempatan dilihat berkesan mengurangkan kesakitan yang dialaminya.

Jelas beliau, tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan seperti lemon, limau kasturi, serai, halia kampung, kelapa muda, daun pudina, cili padi, bunga cengkih dan kulit kayu manis jika dibangunkan satu kajian mendalam mengikut spesifikasi perubatan oleh para pakar dan saintis mungkin boleh dijadikan bahan mengurangkan kesakitan pesakit Covid-19.

“Pengalaman saya sewaktu diserang virus ini, saya menggunakan pelbagai kaedah seperti meminum rebusan buah lemon dicampur dengan bunga cengkih, menghidu wangian daun pudina dan kayu manis selain meminum sup halia kampung bersama serai, dan kesan kehilangan deria bau dan rasa semakin berkurangan selepas beberapa hari mengamalkannya”,

“Tetapi amalan saya itu hanya berdasarkan percubaan secara tradisional. Jika kesemua bahan-bahan itu dibangunkan menggunakan teknologi canggih iaitu kajian makmal yang mendalam, mungkin ia lebih memberikan kesan untuk membantu para pesakit”. Jelas James.

James yang juga Adun Sugut berkata, beliau turut menerima pelbagai maklum balas positif dari beberapa ahli keluarga dan rakan-rakan yang sebelum ini disahkan menghidap Covid-19 dimana mereka mengamalkan penggunaan tumbuh-tumbuhan serta buah-buahan seperti yang dinyatakannya.

Katanya, seorang rakan karibnya dikenali sebagai Helvin Ribus yang disahkan positif Covid-19 pada hujung bulan November lepas turut mencuba petua mengurangkan kesakitan menggunakan rebusan air kelapa muda dicampur dengan hirisan buah lemon dan beliau akui mengalami perubahan pada deria rasa dan bau selepas tiga hari mengamalkannya.

“Saya tidak bermaksud untuk mempengaruhi orang awam mencuba petua-petua yang saya jelaskan itu. Tetapi saya menyampaikannya untuk membuka idea kepada para pakar perubatan dan saintis di Institusi Pengajian Tinggi atau hospital untuk memikirkan suatu bentuk kajian saintifik mengenai keberkesanan tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan tersebut”. Tegasnya ketika ditemui pada Rabu.

Dalam pada itu, James turut mengalu-alukan pihak MARDI untuk turut menjalankan kajian berhubung keberkesanan beberapa jenis tumbuhan dan buah-buahan yang boleh digunakan untuk mengurangkan kesan kesakitan akibat Covid-19.

Katanya, walaupun ketika ini vaksin untuk virus berkenaan telah dicipta, namun para pesakit yang disahkan positif Covid-19 peringkat satu atau dua, mereka memerlukan beberapa ubat-ubatan bagi melegakan kesakitan kesan daripada virus tersebut dalam tempoh berkuarantin seperti selesma, demam serta kehilangan deria bau dan rasa.

“Sebelum itu, mungkin para Pegawai MARDI boleh turun padang bagi membuat kajian lapangan untuk mendapatkan maklum balas dikalangan bekas-bekas pesakit Covid-19 mengenai kaedah mengurangkan kesakitan sewaktu menjalani kuarantin akibat penyakit itu. Hasil tinjauan boleh membantu mencetuskan idea kajian”. Katanya.

Setakat ini, virus Covid-19 masih belum disahkan mempunyai sebarang ubat khusus untuk rawatan. Jutaan nyawa pesakit telah terkorban diseluruh dunia sejak virus itu melanda dunia sejak dua tahun lepas.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN