Nizam
KOTA KINABALU: Cadangan pembentukan Borneo Bloc tidak seharusnya ditafsirkan sebagai usaha Sabah dan Sarawak untuk mengukuhkan kawalan politik di peringkat Persekutuan, sebaliknya merupakan langkah memperkukuh keseimbangan dalam sistem Persekutuan Malaysia.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan, berkata pandangan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, yang mendakwa kedua-dua negeri itu menggunakan cadangan berkenaan untuk memperkukuh pengaruh politik di peringkat Persekutuan perlu dilihat dalam konteks sejarah pembentukan Malaysia.
Menurut beliau, cadangan tersebut merupakan pendekatan politik yang sah dan matang bagi menyelaraskan suara Sabah dan Sarawak dalam memperjuangkan kepentingan rakyat di kedua-dua wilayah secara lebih tersusun di Parlimen.
“Dalam sistem persekutuan yang sihat, kerjasama antara wilayah untuk memperkukuh kedudukan rundingan adalah sesuatu yang lazim dan tidak wajar dilihat secara negatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata asas pembentukan Malaysia pada tahun 1963 berteraskan prinsip perkongsian antara wilayah, dengan penyertaan Sabah dan Sarawak ketika itu dibuat melalui rundingan yang disertai jaminan tertentu bagi melindungi identiti, autonomi pentadbiran dan kepentingan rakyat tempatan.
Katanya, jaminan tersebut termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas kepada pembentukan negara.
“Perkara seperti kuasa imigresen, isu hasil petroleum serta tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan adalah sebahagian daripada komitmen asal yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia.
“Usaha berterusan untuk menuntut dan memperkukuh pelaksanaan perkara-perkara ini selaras dengan semangat Persekutuan yang adil dan seimbang,” katanya.
Nizam turut berkata cadangan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak perlu dilihat dari sudut representasi yang lebih saksama memandangkan keluasan wilayah, kepelbagaian geografi serta keperluan pembangunan yang berbeza di kedua-dua negeri.
Menurut beliau, pembentukan Borneo Bloc mencerminkan kematangan politik Sabah dan Sarawak dalam kerangka Persekutuan Malaysia, selain bertujuan memperkukuh kerjasama antara kedua-dua wilayah dalam memperjuangkan isu pembangunan, hak perlembagaan dan kepentingan rakyat Borneo secara lebih teratur.
“Malaysia dibina atas semangat kerjasama antara wilayah, bukan persaingan antara Semenanjung dan Borneo. Justeru, sebarang usaha untuk memperkukuh keseimbangan dalam Persekutuan perlu dilihat sebagai langkah memperkukuh negara secara keseluruhan,” katanya.



