27 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Februari 14, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Berhati-hati memandu di lokasi ‘hotspot’ kerap berlaku kemalangan : PDRM

Oleh: ADUKA JASNIN SUMAN

RANAU : Pengguna jalan raya dinasihat supaya lebih berhati-hati ketika memandu di empat lokasi titik panas (hotspot) atau kawasan kerap berlaku kemalangan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Polis (DSP) Sammy  Newton (gambar) memberitahu, kawasan tersebut dikenal pasti kerap berlaku kemalangan yang meragut nyawa.

Katanya, empat lokasi berkenaan iaitu Kilometer (KM)1-30 (Ranau-Telupid) Pekan Ranau-Kg. Nabutan, KM48-68 (Jalan Ranau-Telupid)Paginatan-simpang Kg. Miruru, KM1-22 (Jalan Ranau-Tampaluri) dan Jalan Ranau-Kota Marudu di KM6, Jalan Bongkud.

“Kawasan tersebut sering berlaku kemalangan dan meminta pengguna jalan raya memandu dengan lebih berhati-hati terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah.

“Bersempena dengan cuti sekolah dan cuti  perayaan Krismas, jumlah kenderaan yang melalui jalan di daerah Ranau akan meningkat berbanding hari-hari biasa.

“Dengan keadaan jalan yang kurang baik di beberapa lokasi dan juga cuaca yang tidak menentu, saya menyeru kepada semua pengguna jalanraya agar mengamalkan pemanduan secara berhemah, merancang perjalanan bagi mengelak memandu dalam keadaan tergesa-gesa selain memastikan kenderaan diselenggara dan sentiasa dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

Beliau juga menasihati pemandu supaya mengelak kesalahan seperti  memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit ketika memandu,  memotong dalam  keadaan merbahaya dan memandu dalam keadaan mabuk dan sebagainya.

Beliau turut memberitahu, sepanjang tahun 2018, statistik kemalangan bagi daerah Ranau telah mencatatkan 357 kes dengan 18 kes maut, manakala selebihnya kes kemalangan biasa termasuklah cedera parah, ringan dan kerosakan biasa.-TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN