BASHIR….Bersama Junaidah menyantuni salah seorang pengguna yang membeli belah sempena Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di salah sebuah pasaraya di Bukit Kalam, pada Ahad.
LABUAN: Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias meninjau (walkabout) Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) peringkat Wilayah Labuan yang diadakan di salah sebuah pasar raya di Kampung Bukit Kalam, pada Ahad.
Program tersebut dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Malaysia (MAFI) serta Kementerian Kewangan (MOF).
Bashir yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan ketika ditemui berkata, program yang dijalankan serentak di 222 kawasan Parlimen itu antara lain bertujuan untuk membantu menangani kos sara hidup rakyat khususnya golongan B40 yang terkesan dengan kenaikan harga barangan keperluan asa yang mendadak sejak kebelakangan ini.
“ Saya berharap inisiatif yang bermula pada 4 Disember lalu dapat memberi manfaat dan dapat dinikmati oleh setiap peringkat Keluarga Malaysia khususnya rakyat Labuan yang tinggal di sebuah pulau yang kos sara hidupnya lebih tinggi berbanding dengan negeri negeri lain” katanya.

TANDA HARGA…. Bashir bersama Junaidah menunjukkan harga barang lebih rendah yang ditawarkan sempena pelaksanaan PJKM.
Menurut Bashir PJKM menawarkan pelbagai pilihan barangan keperluan asas dan harian seperti daging ayam, ikan, gula telur ayam, tepung minyak masak dan lain lain dengan harga lebih rendah perbezaan 10 hingga 20 peratus daripada harga pasaran setempat.
Selain itu katanya, pihak KPDNHEP Labuan telah mengenal pasti beberapa lagi pasaraya di sini untuk dijadikan sebagai lokasi PJKM.
Hadir sama Pengarah KPDNHEP Labuan, Junaidah Arbain.



