27 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 5, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Bapa Pengsan, Anak Cedera ‘Dikeroyok’ Sekumpulan 8 Lelaki Di SAFMA

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji

KOTA KINABALU: Dua beranak cedera dipukul sekumpulan lapan lelaki selepas menegur salah seorang lelaki terbabit yang cuba membawa keluar bakul plastik berisi ikan dari bangunan Sabah Fish Marketing (SAFMA), di sini, pada Sabtu.

Dalam kejadian jam 11 pagi, dua beranak berusia 22 dan 41 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di SAFMA menegur lelaki terbabit kerana cuba membawa keluar bakul plastik hingga terjadi pergaduhan namun kejadian itu diselesaikan secara baik.

Bagaimanapun pada jam 3 petang, sekumpulan lapan lelaki dalam keadaan marah bertindak menyerang mangsa dan anaknya.

Kedua-dua mangsa cuba melarikan diri namun dikejar oleh suspek lalu bertindak memukul mangsa menggunakan pisau, buku lima, rantai besi dan tali pinggang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi hari ini berkata, akibat kejadian itu, mangsa pengsan manakala anaknya yang cedera dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) oleh majikannya untuk rawatan lanjut.

Katanya, mangsa cedera di kepala, bengkak di tangan dan hidung berdarah manakala anaknya bengkak serta luka di kepala.

“Beberapa suspek yang disyaki ditahan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan beberapa lagi individu yang terbabit dalam kejadian itu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menyalurkannya kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh. – HMetro

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN