24 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Januari 24, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

BANK RAKYAT SANTUNI ANAK-ANAK YATIM DAN GOLONGAN MEMERLUKAN DI SABAH SEMPENA RAMADAN

KOTA KINABALU, 8 MAC 2025 – Sempena tema ‘Hulurkan Salam’ bagi Ramadan dan Syawal pada tahun ini, Bank Rakyat meneruskan usaha murninya menerusi inisiatif Jangkauan Komuniti Madani dengan menyantuni anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan di negeri Sabah.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, Bank Rakyat menyerahkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Rumah Kanak-Kanak Kota Kinabalu dan RM6,000 kepada Rumah Anak Yatim As-Sakinah, Papar untuk membeli barangan keperluan bagi memastikan anak-anak ini dapat menikmati suasana Ramadan dan Syawal dengan penuh keceriaan.

Selain itu, Bank Rakyat turut mengadakan program Bazar Kasih Ramadan yang membawa 40 orang anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim As-Sakinah untuk merasai suasana membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Palm Square Commercial Centre, Kinarut.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa mengalualukan pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat oleh sektor swasta dan korporat, terutamanya melibatkan golongan sasaran yang memerlukan, termasuk kanakkanak sebagai penerima manfaat,” ujar Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick dalam ucapannya semasa program penyerahan sumbangan yang diadakan di Rumah Kanak-Kanak Kota Kinabalu hari ini.

“KUSKOP juga sentiasa menyokong pelbagai aktiviti dan program yang bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak di negara ini, terutamanya mereka yang kurang bernasib baik kerana ia membantu memperkukuh nilai kekeluargaan dan keprihatinan dalam masyarakat tanpa mengira latar belakang, sejajar dengan konsep Malaysia Madani,” tambah YB Datuk Ewon.

Di samping itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, “Sebagai organisasi yang bertanggungjawab, Bank Rakyat sentiasa berusaha untuk memberi semula kepada masyarakat menerusi inisiatif yang dapat meningkatkan taraf dan kualiti hidup mereka, termasuk daripada golongan kanak-kanak yang merupakan generasi yang bakal menjadi pemimpin negara satu hari nanti.”

“Tema ‘Hulurkan Salam’ yang dipilih oleh Bank Rakyat sempena Ramadan dan Syawal tahun ini juga bertujuan untuk menyebarkan nilai kebaikan dan keprihatinan kepada masyarakat, khususnya golongan yang kurang bernasib baik. Bertepatan dengan konsep ‘Hulurkan Salam’ ini, Bank Rakyat mengajak semua pihak untuk saling menyantuni dan menghulurkan bantuan, serta merayakan kegembiraan dan keberkatan bulan Ramadan bersama-sama,” tambah Datuk Mohd Irwan.

Di samping itu, Bank Rakyat juga meneruskan tradisi menghargai pelanggannya sempena bulan Ramadan dan Syawal tahun ini melalui Kempen Utama Hulurkan Salam, bermula 1 Mac hingga 31 Mei 2025, yang menawarkan hadiah berjumlah RM370,000 dengan hadiah lumayan termasuk kereta mewah Jaecoo J7, Proton e.MAS dan motosikal elektrik BMW CE 04. Selain itu, pelbagai tawaran istimewa turut ditawarkan seperti Kempen Rebat Petrol, Rebat Barangan Runcit serta Rebat Emas.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, orang ramai boleh layari laman media sosial rasmi @mybankrakyat dan laman sesawang www.bankrakyat.com.my, hubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di 1-300-80-5454, atau kunjungi mana-mana cawangan Bank Rakyat yang berhampiran.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN