TINJAUAN LADANG….Kong bersama-sama pelajar Agroteknologi dan pekerja ladang R&J Eco Farm membuat tinjauan keatas produk tanaman Rockmellon dan Lada Bara.
RANAU: Kerajaan digesa menyediakan dana pinjaman khas kepada para belia yang komited untuk mengusahakan pertanian untuk meningkatkan pendapatan golongan itu dalam Bajet Negeri Sabah Tahun 2022 yang bakal dibentangkan bulan depan.
Ketua Wiramuda Star Sabah, Kong Soon Choi berkata, dana pinjaman itu disarankan diterbitkan kerajaan menerusi Agro Bank atau Institusi Kewangan berkaitan sebagai langkah penggalak kepada usahawan muda menjadikan pertanian suatu perniagaan.
“Ketika ini dana pinjaman pertanian memang ada disediakan. Tetapi mungkin ia mengambil kira latar belakang petani yang besar seperti perusahaan kelapa sawit atau perladangan besar yang lain.
“Dana pinjaman yang dimaksudkan mungkin mensasarkan petani dari golongan belia yang ingin memulakan pertanian atau perikanan secara sederhana sebelum mereka mampu mengembangkan perniagaan pertanian selanjutnya”. Jelas Kong.

Kong turut meninjau kolam ikan air tawar yang terdapat diladang R&J Eco Farm.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan di ladang penanaman Rockmellon dan Lada Bara di R&J Eco Farm dekat sini pada Isnin. Ladang tersebut diusahakan oleh belia tempatan, Rowelon Juil, 35 tahun yang berasal dari Kg. Nalapak, Ranau.
Sementara itu, dua orang pelajar yang mengambil Sijil Agroteknologi di Kolej Komuniti Tambunan yang menjalani latihan praktikal di ladang berkenaan turut berharap kerajaan mempertimbangan cadangan Kong.
Josue Jailson, 20 tahun berasal dari Kg Mindohuon Ranau berkata, dengan adanya dana pinjaman tersebut, ia menggalakkan lagi semangat petani muda untuk gigih berusaha.
“Saya bercita-cita ingin menjadi petani berjaya selepas menamatkan pengajian. Namun saya berhadapan sedikit kekangan modal untuk membuka tanah selain mendapatkan bahan-bahan pertanian lain. Jika ada pinjaman mengikut kelayakan yang sesuai, mungkin impian saya bakal menjadi realiti selepas tamat pengajian”. Katanya.
Seorang lagi pelatih, Rakee Salat, 21 tahun dari daerah Paitan, Beluran berkata sijil pertanian yang bakal diperolehinya kelak akan digunakan sepenuhnya untuk mengusahakan pertanian sebagai salah satu bidang kerjaya beliau.
“Latihan pertanian yang saya perolehi ini akan saya gunapakai untuk berusaha memajukan diri dalam bidang pertanian. Dan memang ia memerlukan dana kewangan yang mencukupi sebagai langkah permulaan bagi menampung kos-kos bertani’’. Jelas Rakee yang memulakan latihan praktikal pada 21 November 2021 hingga 13 Mac 2022 bersama rakannya.

Josue Jailson dan Rakee Salat, pelajar Agroteknologi Kolej Komuniti Tambunan.
Dalam masa sama, Kong turut menambah kerajaan juga boleh menimbangkan sebuah Kilang Pemprosesan produk berasaskan buah durian di daerah Ranau kerana potensi pengeluaran durian yang tinggi setiap tahun dari petani sekitar daerah ini.
Katanya, jika kerajaan mewujudkan sebuah kilang sudah tentu akan membuka ruang pekerjaan yang luas dikalangan belia selain mampu meningkatkan pendapatan para petani seterusnya dapat memasarkan produk durian Ranau ke serta dunia.
“Pelbagai jenis durian berkualiti diusahakan oleh para petani disekitar daerah ini. hasil yang dikeluarkan setiap tahun juga agak banyak. Namun sehingga kini, pasaran buah tersebut agak terhad dan amat baik jika didirikan sebuah kilang pemprosesan produk berasaskan durian disini’’. Katanya.



