Rafie ketika menyampaikan hadiah kepada Awang Mohd Syafie.
Oleh: Rizalmi Liman
KENINGAU: Awang Mohd Syafie Mohd Kifflee daripada Daerah Beaufort juara Kategori Terbuka Keningau Open Chess Championship 2023 yang diadakan di Taman Bandukan Riverside Resort Keningau.
Beliau sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3500 berserta medal.
Manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh Abdul Sahim Wising daripada Kota Kinabalu dan Jeppy Tewelu Asan (Lahad Datu).
Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM2000 dan RM1000 berserta medal.
Manakala johan bagi kategori 18 Tahun, 15 Tahun dan 12 Tahun masing-masing disandang oleh Hargves Esqueero Elip Lipon, Katherine Samantha Likoh dan Declan Carl Linus.
Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM300 berserta medal.

Rafie merakamkan kenangan bersama Ahli Jawatankuasa penganjur.
Hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert.
Ketika berucap merasmikan kejohanan ini beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir yang telah menyertai kejohanan ini daripada luar negara, luar negeri dan seluruh negeri ini kerana komited dalam menyertai kejohanan ini.
Katanya, ini membuktikan bahawa seluruh lapisan masyarakat memerlukan penganjuran pelbagai sukan seperti sukan ini sebagai medium untuk mencari bakat, mengasa bakat dan menguji kemampuan agar lebih yakin untuk menyertai kejohanan ke peringkat yang lebih tinggi.
Beliau berharap agar semua peserta mendapat sesuatu pengalaman yang berharga pada kejohanan ini.
Seramai 177 orang telah menyertai kejohanan ini yang diadakan selama dua hari pada Sabtu dan Ahad.
Kejohanan anjuran Persatuan Pelancongan Dan Kebudayaan Keningau dengan kerjasama Kelab Catur Keningau ini telah mendapat penyertaan daripada luar negara dan luar negeri iaitu peserta daripada Filipina, India, Sarawak dan Selangor.
Hadir sama pada perasmian penutupan ini Jude James, Pengerusi Kelab Catur Keningau.