ASTiF latih pelajar dengan kemahiran kreatif

Home Pendidikan ASTiF latih pelajar dengan kemahiran kreatif
ASTiF latih pelajar dengan kemahiran kreatif

Karya pelajar ASTiF dipamerkan kepada para pengunjung luar.

KOTA KINABALU, 1 November – Penubuhan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada bulan Mei 2021 tepat pada masanya dalam memastikan graduan UMS bersedia merebut peluang dalam pekerjaan perniagaan atas talian serta melibatkan diri sebagai penyedia kandungan kreatif media baharu.

Dekan ASTiF, Prof. Madya Dr. Zairul Anuar Md. Dawam berkata, penubuhan ASTiF sesuai dengan perubahan akibat pandemik Covid-19 yang kini memerlukan kemahiran kreatif dan inovatif seseorang untuk beradaptasi dengan senario baru dalam peluang pasaran kerja semasa.

Dr. Zairul

“Pandemik menyebabkan kemahiran-kemahiran kreatif seperti penyuntingan, kemahiran fotografi, grafik dan pembikinan video yang melibatkan penciptaan kandungan kreatif semakin diperlukan dalam usaha mempromosi dan menjual pelbagai produk perniagaan.

“Ia sekali gus mencipta peluang pekerjaan baru kepada pelajar dan graduan universiti. Sehubungan itu, di ASTiF selain kursus-kursus berteraskan kemahiran bakat dalam bidang seni, akademi ini juga menawarkan kursus-kursus berteraskan pengurusan dan keusahawanan kreatif seperti Pengurusan Industri Kreatif, Pengurusan Produksi dan Pemasaran Karya.

“Ia bertujuan memastikan graduan yang dilahirkan mampu menceburi pelbagai bidang perniagaan yang berkait secara langsung dengan industri kreatif ataupun sebaliknya,” katanya.

Pelajar ASTiF didedahkan dengan kursus-kursus berkaitan promosi produk kreatif.

Zairul berkata demikian dalam satu wawancara khas bersama pemberita di sini, hari ini.

Menurut Zairul, kursus-kursus yang ditawarkan ASTiF adalah berdasarkan keperluan semasa industri dengan mengambil kira maklum balas pelajar yang menjalani latihan industri di beberapa syarikat yang mencadangkan beberapa kemahiran penting perlu diterapkan.

“Melalui maklum balas yang diterima, syarikat-syarikat menyatakan keperluan terhadap pelajar-pelajar kreatif dan inovatif yang mempunyai kemahiran menghasilkan video, copywriting, reka bentuk grafik serta berkebolehan melakukan penyuntingan video untuk tujuan mempromosikan produk,” katanya.

Lantaran itu Zairul memaklumkan, ASTiF sangat menggalakkan pelajar menggunakan kemahiran daripada kursus-kursus yang ditawarkan untuk menceburi pelbagai bidang perniagaan sebagai persiapan menghadapi realiti peluang kerjaya dan pasaran sebenar apabila tamat pengajian kelak.

“Seperti yang kita ketahui, kemahiran kreatif ini tidak terhad kepada industri yang berkait secara langsung seperti industri muzik, tarian, teater, perbukuan, perfileman dan seni halus sahaja, namun ia mencakupi pelbagai bidang lain seperti pembungkusan, grafik dan percetakan.

“Justeru, terdapat graduan ASTiF yang menggunakan kemahiran kreatif dan pengurusan yang dipelajari untuk menceburi bidang perniagaan seperti perniagaan restoran, bakeri dan perniagaan produk lain secara dalam talian,” jelasnya lagi.

Menyentuh mengenai peluang pekerjaan dalam penyediaan kandungan kreatif melalui media sosial, Zairul memaklumkan ASTiF juga menawarkan kursus-kursus seperti teknik penulisan media baru, pengurusan penerbitan media dan penyuntingan kopi.

“Ia sebagai pendedahan kepada pelajar dengan kemahiran asas untuk menjadi pencipta atau penyedia kandungan kreatif dalam platform seperti Youtube, Facebook, dan Tik Tok.

“Kita tahu nilai kandungan kreatif yang disiarkan melalui aplikasi media sosial ini mencecah jutaan ringgit dan telah melahirkan ramai usahawan kreatif sekali gus menyediakan peluang pekerjaan baru kepada masyarakat.

“Justeru menyedari peluang ini, pihak ASTiF sedang mempergiatkan lagi inisiatif untuk memastikan pelajar didedahkan dengan pengetahuan berkaitan dengan media baru, serta pada masa yang sama memastikan nilai kandungan yang dibangunkan memberi impak positif kepada masyarakat,” tambahnya.

Beliau turut menyuarakan harapan agar penubuhan ASTiF akan memberi dimensi baru kepada para pelajar dan graduan untuk berfikir lebih kreatif dan inovatif.

“Kita mahu lebih ramai pelajar yang merebut peluang menceburi bidang industri kreatif yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan baru sesuai dengan perubahan semasa,” kata Zairul.