25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mac 12, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Ar-Rahnu X’Change Berpotensi Jadi Jenama Mikro Kredit Pilihan Negara: Ewon

Ewon menyampaikan anugerah kepada pemenang kategori Ultra Anugerah Emas – Ar-Rahnu X’Change Seremban 2 (Koperasi Kakitangan Bank Rakyat Berhad -SEKATA, turut kelihatan Pengerusi Rakyat Management Services Sdn. Bhd Haji Mohd Jafri Kudus (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Ahmad Shahril Mohd Shariff (kanan).

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick optimis perniagaan francais Ar-Rahnu X’Change berpotensi muncul sebagai jenama mikro kredit pilihan utama negara.

Beliau berkata, sejak mula diperkenalkan pada tahun 1993, model perniagaan yang dilaksanakan Bank Rakyat itu terbukti berjaya dalam membangunkan koperasi melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran operasi perniagaan Ar-Rahnu.

“Prestasi tahun 2024 yang mencatatkan pengeluaran pembiayaan berjumlah RM1.9 bilion menggambarkan konsistensi permintaan terhadap produk pajak gadai Islam ini

“Ia merupakan peluang perniagaan yang wajar dipertimbangkan koperasi,” katanya pada Majlis Anugerah Ar-Rahnu X’Change di sini malam tadi.

Ewon berkata, di Sabah sahaja terdapat empat koperasi yang terlibat dalam perniagaan itu dengan lima rangkaian francais di sekitar Kota Kinabalu dan Sandakan.

Menurut beliau, Koperasi Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) menjadi koperasi pertama menyertai francais Ar-Rahnu X’Change sejak 2010, diikuti tiga koperasi lain iaitu Koperasi Pekerja Yayasan Sabah Berhad, Koperasi Pembangunan Usahasama Masyarakat Maju Sabah dan Koperasi Pembangunan Tanah Sungei Kelayak Berhad.

“KOPEKS kini sedang mengembangkan perniagaannya dengan pembukaan cawangan ketiga francais Ar-Rahnu X’Change di Tawau

“Saya mengucapkan syabas kepada Ahli Lembaga Koperasi dan pengurusan atas komitmen yang diberikan,” katanya.

Ewon turut memberi jaminan bahawa kementeriannya melalui agensi di bawah KUSKOP akan terus menyokong koperasi yang berminat menceburi perniagaan francais berimpak positif seperti Ar-Rahnu X’Change.

Sehubungan itu, beliau menyeru Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) agar memperkukuh peranannya dengan menyediakan inisiatif lebih efisien bagi menyokong pembangunan perniagaan koperasi termasuk meneliti dasar, fasiliti seperti Tabung Modal Pusingan serta mempercepatkan kelulusan permohonan perniagaan koperasi.

“Kejayaan koperasi bukan sahaja dinikmati kepimpinannya tetapi turut memberi manfaat kepada anggota dan masyarakat, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam mewujudkan negara yang adil, makmur dan sejahtera,” ujarnya .

Beliau berkata, gerakan koperasi kekal relevan dalam pembangunan ekonomi negara dengan 16,000 koperasi aktif mencatatkan perolehan tahunan mencecah RM68 bilion, manakala keanggotaan melebihi 7.2 juta orang dengan nilai aset keseluruhan lebih RM173 bilion.

Selain Ar-Rahnu X’Change, Ewon berharap Bank Rakyat akan terus memperkenalkan program lain untuk berkongsi kepakaran dalam memperkukuh perniagaan koperasi.

“Saya menyeru semua koperator agar komited dan proaktif membangunkan institusi koperasi seiring dengan Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030,” tambah Ewon.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN