31 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 14, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

ANAK JATI RANAU, FENDI KAMILIS, MERANGKUL TIGA ANUGERAH DALAM ANUGERAH KETERAMPILAN PELAJAR UPSI 2024

Fendi dengan anugerah yang dimenanginya


TANJUNG MALIM: Seorang anak jati Ranau, Sabah, Fendi Kamilis, telah mencipta sejarah apabila berjaya merangkul tiga anugerah berprestij dalam Anugerah Keterampilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2024.


Kejayaan ini menjadikan beliau antara pelajar paling cemerlang dalam pencapaian kokurikulum universiti tersebut.


Fendi, yang merupakan Mantan Yang Dipertua Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS UPSI) Sidang 2023/2024, mahasiswa Fakulti Sains Kemanusiaan, menerima anugerah dalam tiga kategori iaitu Anugerah Kepimpinan Sukarelawan, Anugerah Kepimpinan Kelab/Persatuan, serta Anugerah Kelab/Persatuan Terbaik.


Malahan beliau turut tercalon sebagai penerima Anugerah Perdana Naib Canselor UPSI 2024. Pencapaian ini membuktikan kesungguhan dan dedikasi beliau dalam akademik serta aktiviti luar bilik darjah yang mahu menceburi dalam bidang kepimpinan.


Menurut Fendi, kejayaan ini adalah hasil usaha gigih daripada pasukan persatuan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah Sidang 2023/2024 serta sokongan daripada Penasihat Persatuan, keluarga, pensyarah, dan rakan-rakannya di UPSI.


“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang telah membantu saya sepanjang perjalanan ini. Terima kasih juga buat IKSAS yang menjadi platform untuk saya kembangkan bakat dalam kepimpinan.


“Saya berharap kejayaan ini dapat menjadi inspirasi kepada anak-anak muda di Sabah dan seluruh negara untuk terus berusaha mencapai impian masing-masing.


“Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyumbang serta penaja program, tanpa sokongan dana ini mungkin kami tidak dapat melaksanakan program dengan jayanya,” katanya.


Beliau turut aktif dalam bidang kepimpinan sejak dari bangku Sekolah Rendah sehinggalah di UPSI.


Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid bin Salimin, dalam ucapannya turut mengucapkan tahniah atas kejayaan semua calon.


“Kecemerlangan para pelajar membuktikan bahawa pelajar UPSI bukan sahaja unggul dalam bidang akademik, tetapi juga dalam aspek kepimpinan, inovasi, dan keterampilan diri.” katanya.


Prof Dr. turut mengingatkan kepada para pelajar UPSI agar tidak melupakan usaha yang dilakukan oleh orang sekeliling dan sentiasa ingat pada asal usul.


Anugerah Keterampilan Pelajar UPSI diadakan setiap tahun bagi mengiktiraf pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang termasuk kepimpinan, inovasi, kesukarelawanan, sukan dan kebudayaan.


Tahun ini, majlis anugerah berlangsung dengan penuh gemilang di The Pearl Hotel, Kuala Lumpur dengan kehadiran para pensyarah dan pelajar.


Dengan kejayaan ini, Fendi Kamilis kini menjadi inspirasi kepada ramai pelajar lain, khususnya anak-anak muda dari Sabah, untuk terus berusaha dan membuktikan kebolehan mereka di peringkat universiti dan kebangsaan.


Beliau bertekad untuk terus memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara melalui kepimpinan dan pengalaman bagi melahirkan generasi yang proaktif dan menjadi pelapis kepada pemimpin negara di masa akan datang.


Sebagai langkah seterusnya, Fendi turut menyatakan hasratnya untuk melaksanakan lebih banyak program yang berimpak tinggi khususnya dalam bidang kepimpinan, kesukarelawanan dan pendidikan bagi generasi muda.


Beliau turut berhasrat untuk berkongsi pengalaman dan ilmu yang diperolehnya dengan lebih ramai pelajar melalui program motivasi dan bengkel kepimpinan yang akan dianjurkannya.


Beliau berharap dapat membantu generasi muda meningkatkan kemahiran insaniah serta daya saing mereka dalam pelbagai bidang.

1 – Fendi dengan anugerah yang dimenanginya
2 – Fendi dan anggota Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS UPSI) bersama hadiah kemenangan mereka

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN