31 C
Kota Kinabalu
Ahad, Oktober 6, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Ambil iktibar kekalahan BN pada PRU 14 kata Bashir

SERAH….Bashir menyampaikan bakul makanan kepada penduduk kampung Bukit Kalam sambil diperhatikan Shuhaimi (dua kiri), Mohd Dzulfaizal (kiri sekali), Niswati (dua kanan) dan Jura’adhiyah.

LABUAN: Ahli  UMNO  Bahagian Labuan khususnya di peringkat akar umbi perlu  mengambil iktibar dari peristiwa kekalahan BN pada  PRU lalu (PRU-14) untuk menjadikan lebih berwaspada dan berhati-hati  supaya peristiwa itu tidak akan berulang semula.

Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Bashir Alias berkata, kekalahan UMNO dan BN dalam  PRU ke 14 lalu menyaksikan  kerajaan yang diterajui UMNO selama lebih 61 tahun  hilang kuasa untuk memerintah.

Malah katanya, Parti Harapan (PH) yang mengambil alih tampuk kerajaan gagal untuk mentadbir Negara dengan baik sekaligus menyaksikan rakyat hidup dalam kegelisahan.

Justeru itu, Bashir mahu ahli ahli UMNO  Bahagian Labuan terus bersatu padu dan memberikan sokongan yang padu kepada parti UMNO serta membuat keputusan  dengan mengambil kira semua sudut dalam usaha  mengembalikan semula UMNO dan BN  menerajui pentadbiran Negara.

Bashir yang juga Ahli Dewan Negara, mengingatkan ahli ahli UMNO di pulau ini supaya terus berusaha mendekati dan menyakini pengundi muda untuk menyokong parti UMNO.

“Kita dimaklumkan lebih 17,000 pengundi muda di pulau ini layak untuk mengundi sekiranya PRU ke 15 akan diadakan pada tahun hadapan.

“ Mereka ini adalah bakal menjadi kuasa penentu kepada calon dan  parti yang akan dipilih untuk memenangi pilihan raya dan seterusnya membentuk kerajaan yang memerintah” katanya ketika berucap pada Majlis Jejak  Kasih  anjuran UMNO Cawangan Bukit Kalam, pada Sabtu.

Majlis yang diadakan di Astaka Terbuka Kampung Bukit Kalam itu turut dihadiri Ketua Wanita UMNO Bahagian, Hajah Niswati Tarji,  Setiausaha UMNO Bahagian, Mohd Dzulfaizal Ab Manan, Ketua Cawangan UMNO Bukit Kalam, Shuhaimi Haji Kula dan Ketua Puteri UMNO Bahagian, Jura’adhiyah Dr Harun.

Pada majlis itu Bashir  turut menyerahkan  50 pak  bakul  makanan kepada penduduk Kampung Bukit Kalam yang kurang berkemampuan dan terkesan akibat pendamik COVID 19.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN