PENGHARGAAN… Maria (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada mantan Pengerusi MPWS sesi 2021-2024, Datuk Tarsiah TZ Taman (dua dari kiri) sambil disaksikan Rosmawati (kiri) dan Haslina (kanan).
KOTA KINABALU: Akademi Kepimpinan Wanita Sabah (AKWan) memperkasa peranan wanita dalam pembangunan negeri dengan melahirkan pemimpin wanita berwibawa.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah, Datuk James Ratib berkata, AKWan yang ditubuhkan sejak 2021 menjadi platform yang strategik bagi pembangunan wanita bukan sahaja memberi pendedahan dalam aspek kepimpinan, malah menyuntik semangat keyakinan serta keterampilan bagi menyertai barisan pembuat keputusan di peringkat negeri dan nasional.
“Setakat 16 Julai 2025, sebanyak 33% wanita Sabah telah menduduki jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, 30% jawatan Setiausaha Tetap Kementerian dan 50% jawatan Ketua Jabatan, manakala di GLC, sebanyak 26% Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) terdiri daripada wanita.
“Manakala data peserta AKWan 2024 menunjukkan majoriti peserta datang dari pemimpin akar umbi yang aktif dalam pelbagai organisasi, ini menunjukkan bahawa wanita semakin bersedia menggalas tanggungjawab memimpin,” katanya ketika merasmikan Majlis Graduasi Kursus Kepimpinan Wanita (AKWan) Kedua Tahun 2024 di salah sebuah hotel terkemuka, dekat sini, pada Ahad.Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Tetap KPMKR, Datuk Maria Chong dihadapan 171
peserta yang menamatkan kursus tahun ini, dan kebanyakannya terdiri daripada pemimpin akar umbi serta aktivis wanita daripada pelbagai organisasi tempatan.
“Graduan hari ini adalah barisan pelapis pemimpin wanita Sabah yang berani, berilmu dan mempunyai potensi tinggi untuk mengemudi pembangunan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyeru para graduan agar terus menyahut cabaran kepimpinan dalam bidang politik, perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mahupun badan bukan kerajaan (NGO).
Dalam pada itu, James turut merakamkan penghargaan kepada mantan Ahli Jawatankuasa Induk dan Kecil Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) sesi 2021 hingga 2024 yang telah memainkan peranan penting dalam merangka serta melaksanakan program-program strategik pemerkasaan wanita termasuk AKWan.
“Komitmen mereka nyata terserlah dalam bidang pendidikan, keusahawanan, kepimpinan komuniti dan pembangunan sosial yang menyasarkan wanita sebagai peneraju perubahan,” katanya.
James turut memaklumkan beberapa program akan datang seperti Women Leaders Symposium, Engagement with Sabah’s Women Leaders dan Women’s Lab telah disusun melalui MPWS dan JHEWA bagi memperkukuh lagi ekosistem kepimpinan wanita di negeri ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) merangkap Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) Datuk Rosmawati Lasuki serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) Haslina Ismail./Penerangan-



