Ahli-ahli parti PPBM Bahagian Tenom disarankan supaya bersatu menjelang (PRU) Ke-15

Home Politik Ahli-ahli parti PPBM Bahagian Tenom disarankan supaya bersatu menjelang (PRU) Ke-15
Ahli-ahli parti PPBM  Bahagian Tenom disarankan supaya bersatu menjelang (PRU) Ke-15

Rubin (berdiri, tengah) ketika berucap merasmikan persidangan itu.

TENOM: Ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tenom disarankan supaya bersatu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 bagi memastikan kemenangan Kerajaan Perikatan Nasional.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Kemabong Datuk Rubin Balang berkata, situasi tidak tenang di kalangan rakyat pada satu ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah haruslah menjadi pengajaran kepada semua.

Katanya, banyak masalah timbul dan masih berlaku perselisihan di kalangan mereka hingga tanggungjawab dalam menjaga rakyat tidak dilaksanakan dengan baik.

Perwakilan yang hadir pada persidangan itu.

“Walaupun pilihanraya telah berakhir pada masa itu, masih lagi terdapat kata-kata yang kurang baik dilemparkan hingga pemimpin mereka sendiri yang menyebabkan kerajaan jatuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Berkelompok Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Tomani, di Dewan Mini Kuala Tomani, baru-baru ini.

Rubin yang juga Ketua Bahagian BERSATU Tenom menegaskan bahawa rakyat harus berhati-hati dalam membuat keputusan memilih pemimpin kerana tidak mahu agenda pembangunan dan kebajikan rakyat diabaikan.

Sementara itu, Ketua Penerangan BERSATU Bahagian Tenom, Sabili Ahunang berkata, persidangan semua cawangan PPBM Melalap dan Kemabong telah berlangsung selama enam hari bermula pada 23 hingga 28 September yang lalu.

“Setakat November 2021, sebanyak 189 Cawangan baru telah ditubuhkan bagi kawasan Parlimen Tenom yang telah mempunyai ahli seramai lebih 10,000 orang.

“Kita menjangkakan akan lebih ramai yang akan menjadi ahli dan menyertai Parti PPBM kerana mereka yakin dan percaya dengan perjuangan parti serta pemimpin tempatan sendiri,” katanya.

Persidangan cawangan-cawangan yang mengambil masa enam hari itu telah sebulat suara mengusulkan bahawa Calon Parlimen P.181 Tenom adalah Datuk Rubin Balang dan Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin.