KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Dato’ Sr. Mohd Ishak Ayub mengadakan sesi dialog bersama penduduk Kampung Kuangoh di Mini Dewan Kampung Kuangoh di sini petang tadi bagi membincangkan isu bekalan air bersih yang sekian lama menjejaskan kehidupan masyarakat setempat.
Sesi dialog itu turut dihadiri Penolong Pegawai Daerah (ADO) Keningau, Norsih Nusuri; Jurutera Daerah Jabatan Air Keningau, Zuraimi @ Zurami Asbullah; serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor, Lectus Fung.
Menurut rekod sebelum ini, masalah penyaluran bekalan air bersih ke kampung berkenaan sering dihadapi penduduk, sekali gus menimbulkan keperluan kepada pendekatan lebih menyeluruh dan berkesan bagi menangani isu tersebut.
Dalam sesi dialog berkenaan, penduduk terlibat diberi ruang menyuarakan aduan serta pandangan secara langsung, manakala pihak teknikal Jabatan Air turut memberikan penjelasan mengenai keadaan semasa sistem bekalan air serta langkah yang boleh dipertimbangkan bagi menambah baik penyaluran bekalan.
Pendekatan dialog terbuka itu dilihat sebagai langkah konstruktif ke arah mencari penyelesaian bersama, selain mewujudkan situasi menang-menang tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak.
Usaha berkenaan turut mencerminkan komitmen kerjasama antara wakil rakyat, agensi kerajaan serta pemimpin masyarakat dalam menangani isu kemudahan asas rakyat secara matang dan berfokus kepada penyelesaian.



