NIZAM (kanan)
PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri Sabah akan terus mengekalkan had umur belia sehingga 40 tahun, selain memperjuangkan cadangan kadar tambang penerbangan khas bagi golongan itu untuk perjalanan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata pendirian mengekalkan had umur berkenaan mengambil kira realiti geografi dan sosioekonomi Sabah, khususnya keperluan pembangunan belia di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau berkata keputusan Kabinet Negeri itu penting bagi memastikan golongan berusia 31 hingga 40 tahun terus mendapat akses kepada latihan kemahiran, peluang pekerjaan serta pelbagai program pembangunan belia.
“Golongan ini juga mempunyai pengalaman, kemahiran dan potensi yang boleh dimanfaatkan dalam pembangunan komuniti serta kemajuan negeri,” katanya dalam kenyataan media selepas menghadiri Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang IV, Penggal Ke-35, Sesi 2025-2026 di sini semalam.
Persidangan itu dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.
Nizam turut menghargai sokongan dan pujian Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid terhadap keputusan Kerajaan Negeri Sabah mengekalkan had umur belia sehingga 40 tahun.
Beliau berkata pendirian itu akan diterjemahkan menerusi cadangan Enakmen Pembangunan Belia Sabah yang sedang dirangka untuk dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelak.
Enakmen berkenaan juga bertujuan memperkukuh pengurusan pertubuhan belia serta menyediakan kerangka pembangunan generasi muda yang lebih sistematik dan menyeluruh.
Dalam perkembangan berkaitan, Nizam berkata kementeriannya turut memberi perhatian kepada isu kos tambang penerbangan yang tinggi, khususnya bagi perjalanan golongan belia dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, kos perjalanan yang tinggi menjadi antara kekangan kepada golongan belia untuk mengikuti pengajian, latihan kemahiran, program pembangunan serta melaksanakan urusan rasmi di Semenanjung.
Sehubungan itu, cadangan memperkenalkan kadar tambang penerbangan khas untuk golongan belia merupakan antara lima usul yang dibangkitkan pada persidangan MPBN peringkat Sabah baru-baru ini.
Beliau berkata pihaknya akan mengadakan tindakan susulan dengan agensi berkaitan di peringkat Persekutuan bagi meneliti mekanisme bersesuaian untuk mengurangkan beban kos perjalanan berkenaan, termasuk kemungkinan memperkenalkan kadar tambang khas.
Selain itu, persidangan MPBN turut membincangkan beberapa isu berkaitan pembangunan belia, termasuk keselamatan digital, kemudahan penjagaan kanak-kanak bagi keluarga muda serta cadangan mewujudkan hab pembangunan belia di setiap daerah.
Nizam berkata aspek kebolehcapaian perlu diberi keutamaan dalam pelaksanaan hab berkenaan di Sabah dengan mengambil kira keluasan geografi, jarak perjalanan serta keperluan masyarakat setempat.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan golongan belia di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman menikmati peluang pembangunan yang saksama tanpa dibatasi faktor geografi dan kedudukan ekonomi.



