Gambar Kenangan: Sim Fui (berdiri tengah) marakam gambar bersama Masidi dan tetamu jemputan yang lain
KOTA KINABALU: Komitmen Kerajaan Negeri Sabah dalam memperkukuh pembangunan pendidikan dan keharmonian antara agama terus dizahirkan menerusi penyaluran bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah serta badan-badan keagamaan bukan Islam bagi tahun 2026.
Bantuan berkenaan disampaikan dalam satu majlis yang berlangsung di The Pacific Sutera, di sini, semalam, 24 November, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri menyokong keperluan institusi pendidikan dan keagamaan di Sabah.
Pegawai Khas Hal Ehwal Masyarakat Cina kepada Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata inisiatif itu mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap pembangunan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Beliau yang menyambut baik penyaluran bantuan itu turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, atas komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan pendidikan dan kesejahteraan masyarakat terus diberi perhatian.
Katanya, beliau akan terus memainkan peranan memperkukuh hubungan dengan pihak pengurusan sekolah-sekolah Cina, selain memahami cabaran yang dihadapi serta membantu menyampaikan dan menyusuli keperluan mereka kepada pihak berkaitan.
Menurutnya, pendidikan merupakan asas penting dalam membangunkan masyarakat, manakala keharmonian antara agama menjadi tonggak utama dalam mengekalkan perpaduan dan kestabilan Sabah.
Beliau berharap kerjasama erat antara kerajaan dan masyarakat akan terus diperkasakan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih berkualiti serta menjamin kesejahteraan generasi akan datang.
Usaha itu juga diharap dapat menyumbang kepada pembinaan Sabah yang lebih maju, inklusif, harmoni dan sejahtera.



