ADVERTISEMENTspot_img

BARMULI PARUDIN DILANTIK KETUA PESURUHJAYA PENGAKAP NEGERI SABAH

TERIMA WATIKAH..Barmuli (kanan)

KUALA LUMPUR: Barmuli bin Parudin dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah menerusi Majlis Penyerahan Tauliah Pelantikan yang disempurnakan Ketua Pengakap Negara Mej. Jen. Datuk Wira Prof. Dr. Mohd. Zin bin Bidin (B) di Rumah B-P, Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM), di sini pada Sabtu.

Pelantikan itu merupakan pengiktirafan terhadap pengalaman dan sumbangan beliau selama lebih tiga dekad dalam pembangunan Pergerakan Pengakap, khususnya di Sabah.

Barmuli, 56, berasal dari Sandakan dan kini bertugas sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di Sekolah Kebangsaan Nunuyan Laut, Sandakan.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan Sains Sosial dengan Kepujian dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta Diploma Pengurusan Pendidikan dari Institut Aminuddin Baki.

Penglibatan beliau dalam Pergerakan Pengakap bermula pada 1992 sebagai Penolong Pemimpin di SK Nunuyan Laut sebelum menjadi Pemimpin Pengakap di SK St. Gabriel dari 1994 hingga 1996.

Beliau kemudian dilantik sebagai Penolong Pesuruhjaya Daerah Karamunting dari 1997 hingga 2000, sebelum menerajui jawatan Pesuruhjaya Daerah Karamunting selama 10 tahun, dari 2001 hingga 2011.

Sepanjang penglibatannya, Barmuli turut memegang pelbagai jawatan kepimpinan di peringkat negeri dan ibu pejabat, termasuk Pesuruhjaya Ibu Pejabat (Latihan), Pesuruhjaya Kawasan Zon 1 Sandakan serta Pesuruhjaya Bahagian Sandakan.

Dalam bidang latihan dan pembangunan kepengakapan, beliau berkhidmat sebagai anggota Pasukan Latihan Negeri sejak 2006, selain dilantik sebagai Penolong Jurulatih Kebangsaan dan Jurulatih Antarabangsa pada 2019.

Beliau juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Penolong Pesuruhjaya Negeri bagi bidang Adult in Scouting dari 2020 hingga 2021 serta inisiatif global sejak 2022.

Pada 2025, beliau dilantik sebagai Setiausaha Semakan Undang-undang Kecil Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Sabah.

Mohd. Zin berkata pengalaman luas Barmuli dalam kepimpinan, latihan dan pengurusan kepengakapan diyakini dapat dimanfaatkan untuk memperkukuh pentadbiran serta pembangunan Pergerakan Pengakap di Sabah.

Beliau berharap kepimpinan baharu itu dapat memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan jumlah keahlian, menganjurkan program yang lebih menarik, memperkukuh tadbir urus serta memastikan setiap tanggungjawab dilaksanakan dengan penuh amanah.

“Pelantikan tersebut merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen demi memastikan Pergerakan Pengakap di Sabah terus berkembang serta kekal relevan dalam melahirkan generasi muda yang berdisiplin, berkemahiran dan mempunyai jati diri yang kukuh.

“PPM berharap pengalaman luas Barmuli dalam bidang kepimpinan, latihan dan pengurusan kepengakapan dapat dimanfaatkan bagi memperkukuh pentadbiran organisasi, meningkatkan kualiti program serta memperluas penyertaan masyarakat dalam Pergerakan Pengakap di negeri itu,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN