Suspek bertanda X yang berjaya diberkas Polis
PENAMPANG: Polis berjaya menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan seorang lelaki berusia 24 tahun di Putatan, dalam tempoh kurang enam jam selepas kejadian.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton, berkata kedua-dua suspek berusia 30 dan 45 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dengan bantuan anggota Balai Polis Putatan di Kampung Dumpil, Putatan, kira-kira 6.30 pagi tadi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah premis perniagaan di Putatan pada 24 Nov lepas, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada awal pagi semalam.
Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 26 Nov hingga 2 Dis ini bagi membantu siasatan.
Menurutnya, motif kejadian serta punca sebenar kematian mangsa masih dalam siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Polis turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi IPD Penampang atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi memastikan kelancaran siasatan.



