Sollehuddin menyampaikan watikah kepada salah seorang penerima sambil diperhatikan Suhaili (dua dari sekali).
LABUAN: Seramai 17 individu yang terdiri pemimpin masyakarat di pulau ini menerima watikah pelantikan Jawatankuasa Sejahtera MADANI (JSM) yang berlangsung di sebuah restoran di sini, pada Ahad.
Majlis penyerahan watikah berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM), Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu beliau berkata, ‎pelantikan Jawatankuasa Sejahtera MADANI (JSM) antara lain bertujuan memperkukuh penyelarasan gerak kerja serta memastikan pelaksanaan inisiatif Sejahtera MADANI dilaksanakan dengan lebih terancang, tersusun dan berkesan.
” JSM perlu lebih aktif untuk turun padang bukan sahaja sebagai penghubung antara rakyat dengan kerajaan tetapi juga mengenalpasti setiap masalah serta keperluan masyarakat untuk diselesaikan segera”, katanya.
Hadir sama menyaksikan majlis itu, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Indera Dr Suhaili Abdul Rahman.
Pada majlis itu, Sollehuddin turut menyampaikan Geran Usahawan MADANI kepada 41 usahawan yang tetdiri daripada penjaja dan peniaga kecil dan sedarhana.
Sementara itu, Suhaili berharap barisan Jawatankuasa Sejahtera MADANI yang telah menerima watikah lantikan dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh komitmen, integriti serta semangat kebersamaan demi memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat terus diperkukuhkan.
“Semoga inisiatif ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak peluang ekonomi, memperkasa usahawan tempatan dan membawa manfaat berterusan kepada seluruh masyarakat Labuan”, katanya.



