KENANGAN … Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Noor Hisham Abdullah merakamkan gambar kenangan bersama warga kerja SAFMA ketika berkunjung dan membeli produk perikanan di premis jualan syarikat itu.
KOTA KINABALU: Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) berbesar hati menerima kunjungan bekas Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Noor Hisham Abdullah, yang turut meluangkan masa membeli produk perikanan di premis jualan syarikat itu.
Kunjungan tersebut merupakan satu penghargaan kepada SAFMA dalam usahanya mempromosikan produk perikanan tempatan serta memperluaskan pasaran hasil laut Sabah kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Kehadiran beliau turut disambut mesra oleh Penolong Pengurus Safma bahagian Pemasaran, James Abin dan warga kerja SAFMA yang berkesempatan beramah mesra dan merakamkan gambar kenangan bersama tokoh kesihatan negara itu.
Sebagai sebuah syarikat yang terlibat dalam pemasaran hasil perikanan, SAFMA komited dalam menyediakan produk perikanan berkualiti kepada pengguna, di samping menyokong pembangunan industri perikanan dan ekonomi masyarakat nelayan di Sabah.
Sokongan terhadap produk perikanan tempatan bukan sahaja membantu merancakkan ekonomi negeri, malah turut menggalakkan pengambilan sumber makanan berkhasiat sebagai sebahagian daripada amalan gaya hidup sihat.
SAFMA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Dr. Noor Hisham atas kesudian berkunjung serta menyokong produk perikanan tempatan.



