Infogragik
Oleh: Paul Ukau
KENINGAU – Era beratur panjang di Mahkamah Anak Negeri (MAN) kini berakhir.
Ketua Daerah (KD) Keningau merangkap Ketua Hakim Mahkamah Anak Negeri (MAN) Keningau, OKK Alexsius Koperal Tingadon Pantayon (gambar), memaklumkan bahawa Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) telah melancarkan transformasi digital sepenuhnya melalui Native Court Management System (NCMS).
Kini rakyat tidak perlu lagi datang berulang kali. Permohonan pendaftaran perkahwinan Anak Negeri boleh dibuat secara dalam talian, 24 jam, dari rumah, tegas OKK Alexsius.
Permohonan Dalam 4 Langkah Mudah:
Sistem NCMS yang boleh diakses melalui portal rasmi https://jheansncms.sabah.gov.my/login hanya memerlukan:
- Imbas QR Portal NCMS– Imbas kod untuk akses portal
- Daftar / Log Masuk – Daftar akaun baharu atau log masuk
- Isi Permohonan – Lengkapkan maklumat pendaftaran perkahwinan
- Hantar & Semak – Hantar dan semak status secara dalam talian
Menurut beliau, inisiatif ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan slogan JHEANS Menjunjung Adat Anak Negeri Sabah – memodenkan adat tanpa meninggalkan akar.
Ini kemudahan bakal pengantin dan ibu bapa di DUN Bingkor dan seluruh Sabah.
“Adat kita tetap dijunjung, tetapi cara kita urus adat, kita naik taraf. Ini kemudahan untuk anak-anak muda kita di Bingkor, Keningau dan seluruh Sabah,” tambah beliau.
Kerana apabila pendaftaran perkahwinan dipermudahkan, yang sebenarnya dipermudahkan adalah permulaan sebuah keluarga.
Yang dijimatkan bukan sekadar masa dan tambang ke Mahkamah, tetapi debaran seorang anak muda yang mahu menghalalkan kasih, doa seorang ibu yang mahu melihat adat terjaga, dan harapan sebuah kampung yang mahu melihat adat terus hidup dalam dunia digital.
Sistem boleh bertukar canggih, tetapi tujuan adat tetap satu – menjaga manusia.



