ADVERTISEMENTspot_img

RM30 Juta Perkasa PMKS Melalui Program PKSlestari Pada 2027

Izham (kiri), Mohamad (tengah) dan Raman (kanan) ketika melakukan gimik perasmian.

KOTA KINABALU: Kerajaan memperuntukkan RM30 juta bagi memperkukuh pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menerusi Program PKSlestari pada 2027.Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, inisiatif itu bertujuan membantu usahawan meningkatkan daya saing serta memastikan kelangsungan perniagaan berasaskan prinsip kelestarian.


“Kerajaan melalui Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp. Malaysia) menyediakan peruntukan kira-kira RM30 juta pada tahun hadapan bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka.


“Kita mahu usahawan memahami bagaimana aktiviti perniagaan boleh dilaksanakan berasaskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), termasuk pemeliharaan alam sekitar, kebajikan pekerja serta amalan tadbir urus yang baik.


“Potensi usahawan di Sabah begitu besar, namun tahap kesedaran mengenai ESG masih perlu dipertingkatkan supaya mereka dapat memanfaatkan peluang yang tersedia,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kesedaran ESG PMKS 2026 di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, peruntukan yang disalurkan melalui SME Corp. Malaysia merangkumi kemudahan pembiayaan dan pembangunan kapasiti bagi menggalakkan penerapan amalan ESG dalam kalangan usahawan.


Mohamad turut menggalakkan usahawan memanfaatkan kemudahan digital yang disediakan kerajaan bagi mendapatkan maklumat mengenai program pembangunan dan pembiayaan perniagaan.


“Usahawan boleh mendapatkan maklumat melalui portal yang disediakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta SME Corp. Malaysia.


“Pelbagai maklumat berkaitan program, kemudahan pembiayaan, syarat kelayakan dan kaedah permohonan disediakan bagi memudahkan usahawan mendapatkan bimbingan,” ujarnya.


Seminar anjuran SME Corp. Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menghimpunkan lebih 300 peserta terdiri daripada usahawan PMKS, pegawai kerajaan, pakar ESG, institusi kewangan, ahli akademik dan pelajar.


Pada majlis tersebut, beliau turut melancarkan Platform PKSlestari dan Kod Tadbir Urus untuk PMKS yang bertujuan membantu usahawan menilai tahap kesediaan ESG, memantau prestasi kelestarian serta memperkukuh amalan tadbir urus korporat.


Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Mohd Izham Abdullah dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Dr. Raman Noordin./PENERANGAN



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN