ADVERTISEMENTspot_img

Pelaksanaan projek naik taraf Jalan Buayan dan Jalan Terian mendahului jadual: Ewon

EWON ketika ditemui media

PENAMPANG: Pelaksanaan projek naik taraf Jalan Buayan dan Jalan Terian masing-masing mendahului jadual sebanyak 45 dan 58 hari, kata Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, projek naik taraf Jalan Buayan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM73.868 juta telah mencapai kemajuan 76.64 peratus dan dijadualkan siap pada Ogos 2027.

Menurutnya, projek berkenaan masih mengikut jadual asal tanpa melibatkan sebarang pelanjutan tempoh masa (EOT) setakat ini.

“Bagi projek naik taraf Jalan Terian yang melibatkan peruntukan sebanyak RM99.395 juta telah mencapai kemajuan 57.83 peratus, iaitu mendahului jadual baharu sebanyak 58 hari selepas diberikan satu EOT sehingga Mei 2028.

“Saya bersama-sama ADUN Moyog Datuk Donald Mojuntin berpuas hati dengan kemajuan kedua-dua projek yang mendahului jadual ini.

“Kami mewakili rakyat Penampang, khususnya komuniti di mukim ini, berharap kedua-dua projek dapat diteruskan dengan lancar dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan, iaitu Mei 2028 bagi Jalan Terian dan Ogos 2027 bagi Jalan Buayan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan ke atas kedua-dua projek berkenaan, di sini, hari ini.

Turut menyertai tinjauan itu ialah wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Sabah serta Majlis Perbandaran Penampang.

Ewon berkata, prestasi semasa kedua-dua projek memberikan keyakinan bahawa pelaksanaannya dapat diselesaikan mengikut jadual.

“Berdasarkan prestasi semasa, kami yakin kedua-dua projek ini dapat disiapkan mengikut jadual tersebut,” katanya.

Beliau merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, Kementerian Kewangan dan KKDW selaku kementerian yang bertanggungjawab menyediakan peruntukan serta melaksanakan kedua-dua projek itu.

“Di kawasan ini terdapat dua buah sekolah, iaitu SK Terian dan SK Buayan. Sebuah lagi sekolah terletak kira-kira 12 kilometer dari sini iaitu SK Longkogungan. Ini bermakna terdapat tiga buah sekolah yang akan menikmati manfaat kemudahan jalan raya ini,” katanya.

Kemudahan itu nanti bakal memberikan keselesaan kepada sekitar 3,000 penduduk di Kg.Terian, Kg.Tiku, Kg.Buayan dan Kg.Longkugungan.

“Dengan adanya jalan raya yang lebih baik, komuniti setempat dapat membangunkan tanah mereka untuk kegiatan pertanian dan pelancongan.

“Apabila aktiviti pelancongan dan ekonomi di kawasan ini berkembang, sudah tentu ribuan lagi pengunjung akan menggunakan jalan raya ini,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN