MUSIBAH….Keadaan di dalam kediaman Cik Laura Garot di Kampung Kituntul Lama, Ranau, ketika dinaiki air susulan banjir Sungai Liwagu.
Oleh:Salwah Aramat& editor
RANAU: Seorang wanita berusia 37 tahun bersama ibunya yang berumur 74 tahun terpaksa berpindah sementara ke rumah ahli keluarga selepas kediaman mereka di Kampung Kituntul Lama, di sini, dimasuki air susulan banjir Sungai Liwagu kira-kira 9 malam baru-baru ini.
Kejadian itu menyebabkan rumah Cik Laura Garot dan ibunya, Flobiah Rubin, dimasuki air, manakala kawasan sekitar kediaman mereka turut ditenggelami banjir sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan kedua-duanya.
Bagi mengelakkan risiko lebih buruk, Laura dan ibunya mengambil keputusan untuk berlindung sementara di rumah kakaknya yang terletak berhampiran kediaman mereka.
Langkah itu amat penting, khususnya bagi memastikan keselamatan Flobiah yang sudah berusia 74 tahun ketika berdepan situasi kecemasan akibat banjir.

SYUKUR……..Flobiah (tengah) menerima sumbangan berupa barang makanan dari pihak individu di kampung Kituntul Lama Ranau.
Kejadian berkenaan turut menonjolkan risiko yang dihadapi penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Liwagu, terutama apabila paras air meningkat dan melimpah ke kawasan kediaman.
Susulan kejadian itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) turut memantau keadaan di kawasan terjejas bagi mengikuti perkembangan banjir dan menilai keperluan tindakan lanjut.
Penduduk yang tinggal berhampiran sungai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, terutama ketika hujan berterusan yang boleh menyebabkan paras air meningkat secara mendadak.
Mereka juga perlu mematuhi arahan pihak berkuasa serta mengambil langkah awal untuk berpindah ke tempat selamat sekiranya keadaan mengancam keselamatan diri dan keluarga.
Bagi Laura dan ibunya, perpindahan sementara itu menjadi langkah berjaga-jaga sementara menunggu keadaan kembali reda dan kediaman mereka dapat diperiksa bagi memastikan keselamatannya.



