ADVERTISEMENTspot_img

Malaysia Berdepan Kekurangan 13,000 Pakar Perubatan Menjelang 2030

Masiung

KOTA KINABALU: Malaysia dijangka berdepan kekurangan lebih 13,000 pakar perubatan menjelang 2030, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keupayaan sistem kesihatan negara untuk memenuhi permintaan perkhidmatan perubatan yang semakin meningkat.

Pengerusi Beckbencers (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, situasi itu memerlukan penstrukturan semula secara menyeluruh terhadap skim perkhidmatan doktor, termasuk penawaran jawatan tetap dan penambahbaikan gaji bagi memastikan tenaga perubatan tempatan kekal berkhidmat dalam negara.

Beliau berkata, kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mengambil langkah lebih progresif bagi menangani penghijrahan doktor ke luar negara yang semakin tertarik dengan tawaran gaji lebih lumayan, jaminan kerjaya serta fleksibiliti pekerjaan.

“Kerajaan perlu mengembalikan sistem lantikan tetap kepada doktor perubatan, termasuk pakar, dengan struktur gaji yang lebih kompetitif dan konsisten.

“Sistem lantikan secara kontrak perlu dinilai semula kerana pendekatan itu boleh menjejaskan usaha mengekalkan doktor tempatan yang telah menjalani latihan bertahun-tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas unjuran BIMB Securities Research yang meramalkan Malaysia bakal mengalami kekurangan lebih 13,000 pakar perubatan menjelang 2030.

Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, isu berkenaan semakin membimbangkan apabila pembangunan infrastruktur kesihatan, termasuk pembinaan hospital baharu, tidak seiring dengan keupayaan negara menyediakan tenaga pakar yang mencukupi.

Katanya, walaupun Malaysia terus melahirkan graduan perubatan, cabaran utama negara adalah memastikan doktor berpengalaman dapat dikekalkan serta meningkatkan bilangan pakar bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan.

Beliau turut membangkitkan cabaran mengekalkan jururawat berpengalaman yang menjadi tulang belakang operasi hospital kerajaan, khususnya berikutan persaingan tawaran pekerjaan daripada hospital swasta dan institusi kesihatan di luar negara.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (PPM) Cawangan Sabah, Dr Brandon Patrick Senagang, sebelum ini turut menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan doktor yang semakin kritikal di seluruh Sabah.

Beliau berkata, doktor tempatan dan graduan perubatan negara semakin cenderung berhijrah ke luar negara berikutan ketidakpuasan terhadap sistem perkhidmatan kontrak yang ditawarkan KKM, selain faktor gaji dan peluang kerjaya yang lebih menarik di negara maju.

Menurutnya, pengalaman doktor Malaysia yang berkhidmat di Singapura menunjukkan perbezaan dari segi ganjaran, fleksibiliti kerja dan prospek kerjaya turut mempengaruhi keputusan mereka untuk berhijrah.

Masiung berkata, situasi itu perlu ditangani segera bagi mengelakkan ketidakseimbangan antara pertambahan kemudahan kesihatan dengan jumlah tenaga profesional yang mampu mengendalikan perkhidmatan berkenaan.

Beliau berkata, Sabah dan Sarawak turut memerlukan perhatian khusus dalam perancangan sumber manusia kesihatan bagi memastikan akses kepada perkhidmatan perubatan berkualiti dapat diperluas, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Sehubungan itu, beliau berharap isu kekurangan pakar perubatan serta pengekalan tenaga kesihatan berpengalaman diberikan perhatian dalam pembentangan Belanjawan negara akan datang, termasuk menerusi penyediaan peruntukan dan insentif yang bersesuaian.

Masiung yang juga Pengerusi Kumpulan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) berkata, beliau dijangka membangkitkan isu kekurangan pakar perubatan, khususnya di Sabah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dijadual berlangsung pada awal November ini.

Beliau berkata, langkah pembaharuan terhadap skim perkhidmatan, ganjaran dan laluan kemajuan kerjaya perlu diberi perhatian bagi memastikan negara bukan sahaja mampu melahirkan doktor, malah mengekalkan kepakaran mereka demi kelangsungan sistem kesihatan negara.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN