BERKELIARAN….Sekumpulan kerbau yang berkeliaran di kawasan kampung.
TAMBUNAN: Penduduk Kampung Monsok Tengah dan Monsok Ulu di sini mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemilik ternakan kerbau yang didakwa dibiarkan berkeliaran sehingga merosakkan tanaman serta menjejaskan mata pencarian penduduk.
Aduan berhubung masalah itu dikatakan telah berulang kali dikemukakan kepada pihak berkuasa, termasuk dengan mengemukakan bukti bergambar dan laporan rasmi, namun sehingga kini penduduk mendakwa belum melihat sebarang tindakan penguatkuasaan yang berkesan.
Wakil penduduk, Justinus Asong berkata, masalah yang berlarutan sekian lama itu bukan sahaja mengganggu ketenteraman kampung, malah menyebabkan petani mengalami kerugian akibat tanaman dan kemudahan kebun yang dirosakkan ternakan berkenaan.
Beliau berkata, kumpulan kerbau yang bebas berkeliaran sering menceroboh kawasan pertanian sehingga memusnahkan tanaman padi, buah-buahan serta pelbagai hasil pertanian lain, selain merosakkan pagar kebun penduduk.
“Ramai pemilik kebun mengalami kerugian besar akibat kemusnahan tanaman. Apa yang mengecewakan, sehingga kini belum ada tindakan sewajarnya daripada pemilik kerbau mahupun pihak yang bertanggungjawab bagi menangani masalah ini,” katanya.
Menurut Justinus, isu berkenaan bukan perkara baharu, sebaliknya telah berlarutan sekian lama meskipun pelbagai usaha dilakukan penduduk untuk mendapatkan penyelesaian, termasuk mengemukakan aduan dan bukti kepada pihak berkaitan.
Beliau turut mempersoalkan keberkesanan pengurusan dan pemantauan Kawasan Padang Ragut Kampung Monsok Tengah yang sebelum ini telah melalui beberapa siri mesyuarat serta aktiviti gotong-royong bagi tujuan menaik taraf dan penyelenggaraan.
Katanya, usaha berkenaan dilihat belum mencapai matlamat apabila ternakan masih berkeliaran di kawasan kampung, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai fungsi sebenar padang ragut yang disediakan.
“Pelbagai mesyuarat dan gotong-royong telah diadakan, namun masalah kerbau berkeliaran masih berterusan. Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pengurusan padang ragut berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, kegagalan menangani masalah itu menyebabkan penduduk terus dibelenggu kebimbangan terhadap keselamatan, kerosakan harta benda dan kerugian hasil pertanian, sedangkan mereka bergantung kepada aktiviti berkenaan sebagai sumber pendapatan.
Sehubungan itu, penduduk merayu Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Pejabat Daerah Tambunan supaya turun padang dengan segera bagi meninjau keadaan sebenar serta mengambil langkah penyelesaian secara menyeluruh.
Mereka turut menggesa pihak berkuasa melaksanakan penguatkuasaan secara tegas dan berterusan mengikut peruntukan undang-undang serta enakmen berkaitan kawalan ternakan, termasuk mempertimbangkan tindakan kompaun atau penyitaan haiwan yang dibiarkan berkeliaran, tertakluk kepada undang-undang sedia ada.
Penduduk berharap tindakan segera dapat diambil bagi memastikan isu berkenaan tidak terus berlarutan, selain melindungi hak, keselamatan dan mata pencarian petani di Kampung Monsok Tengah dan Monsok Ulu. –Herry Kunjan



