SERAH…Ewon (kiri) menyampaikan geran tanah kepada salah seorang Ketua Kampung mewakili penduduk.
KOTA BELUD: Seramai 1,816 Ketua Isi Rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian dikenal pasti sebagai penerima Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) 2026, manakala 507 geran tanah melibatkan keluasan 694.92 ekar diserahkan kepada penduduk sembilan kampung di kawasan berkenaan.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick berkata kedua-dua inisiatif itu mencerminkan pendekatan kerajaan negeri dalam menangani keperluan semasa rakyat, selain memberikan kepastian terhadap hak milik tanah.
Beliau berkata bagi fasa ketiga SYUKUR tahun ini, seramai 140,000 penerima di seluruh Sabah menerima bantuan bulanan sebanyak RM200, dengan 7,750 Ketua Isi Rumah dikenal pasti sebagai penerima di kawasan Parlimen Kota Belud.
“Pada hari ini, seramai 30 penerima akan menerima bantuan SYUKUR secara tunai bagi fasa ketiga. Saya berharap bantuan ini dapat digunakan sebaik-baiknya untuk memenuhi keperluan keluarga dan memberikan sedikit kelegaan kepada para penerima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Outreach Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) 2026 sempena Mini Karnival Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah di Dewan Kadamaian Square, di sini, hari ini.
Ewon berkata penerima lain yang belum menerima bayaran tunai pada program berkenaan boleh membuat tuntutan di cawangan Sabah Credit Corporation (SCC) yang berdekatan mulai awal Oktober ini.
Mengenai Program Perkhidmatan Khas Tanah Negeri Sabah (PANTAS), beliau berkata program yang dilaksanakan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah sejak 2011 itu bertujuan mempercepat proses pengukuran tanah Anak Negeri serta penyelesaian urusan pemberian hak milik kepada rakyat yang memenuhi syarat.
Beliau berkata sehingga Jun 2025, sebanyak 70,436 lot tanah adat dengan keluasan keseluruhan 488,705 ekar berjaya diukur menerusi PANTAS, melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM251.34 juta.
“Geran tanah memberikan kepastian dan pengiktirafan rasmi terhadap hak milik rakyat. Dokumen ini penting bagi melindungi kepentingan keluarga, mengurangkan pertikaian dan memastikan kedudukan tanah dapat diwariskan dengan lebih jelas kepada generasi akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ewon berkata kerajaan negeri terus memperkukuh ekosistem keusahawanan menerusi pelbagai program bagi membantu usahawan tempatan meningkatkan kapasiti dan daya saing produk.
Beliau berkata Program Transformasi Usahawan Sabah (TRUS-MIDE), antaranya, membantu usahawan meningkatkan kualiti pembungkusan produk menerusi bantuan berkaitan reka bentuk produk baharu, pendaftaran MyIPO, kandungan nutrisi, kod bar dan tarikh luput.
“Sejak diperkenalkan pada 2011, Program TRUS telah memberikan manfaat kepada seramai 800 usahawan di seluruh Sabah.
“Melalui penambahbaikan pembungkusan dan pematuhan terhadap keperluan pasaran, produk usahawan tempatan berpeluang dipasarkan dengan lebih meluas dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) turut melaksanakan Program SME-UP yang menyediakan bantuan antaranya mesin dan peralatan, pembungkusan dan pelabelan, mesin retort, pensijilan Halal serta pendaftaran cap dagangan.
Menurutnya, sehingga 2025, seramai 5,879 usahawan telah menerima manfaat menerusi Program SME-UP.
Ewon berkata penganjuran Mini Karnival Usahawan IKS Sabah di Kota Belud pula menyediakan platform kepada usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk, meningkatkan jualan serta membina jaringan pasaran.
Beliau berharap peserta dapat memanfaatkan peluang berkenaan untuk mendapatkan maklumat, memperluas jaringan perniagaan dan memahami keperluan pasaran, di samping memberi perhatian terhadap aspek kualiti produk, pembungkusan, pensijilan dan pemasaran.
“Program pada hari ini memperlihatkan pendekatan Kerajaan Negeri yang menyeluruh. Bantuan SYUKUR membantu keperluan semasa rakyat, geran PANTAS memberikan jaminan hak milik tanah untuk masa hadapan, manakala program pembangunan IKS membuka peluang meningkatkan pendapatan,” katanya.



