ADVERTISEMENTspot_img

MAZMUR 129 PERINGATAN KETABAHAN, BUKAN BAHAN LAWAK: PETRUS MOJUNTIN

Petrus C. Mojuntin

KOTA KINABALU: Pemimpin masyarakat dan aktivis sivik Sabah, Petrus C. Mojuntin, menyifatkan Mazmur 129 sebagai peringatan suci mengenai ketabahan menghadapi penindasan dan bukannya bahan untuk dijadikan jenaka politik.

Beliau berkata masyarakat Kristian, khususnya umat Katolik, berasa sedih dan kecewa berhubung kenyataan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said, pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang didakwa menggambarkan watak paderi Katolik dan biarawati dalam jenaka berunsur seksual serta menggunakan petikan Mazmur 129 dalam konteks politik.

Menurutnya, tindakan sedemikian bukan sahaja melampaui batas kesusilaan awam, malah boleh menyinggung sensitiviti penganut agama Kristian dan menjejaskan prinsip saling menghormati dalam masyarakat majmuk.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan ini bersama pemimpin masyarakat dan pihak berkaitan, namun dalam masa sama menyeru umat beriman supaya melihat perkara ini melalui kanta kebenaran rohani.

“Secara ironinya, penyalahgunaan Mazmur 129 itu sendiri telah mengarahkan perhatian masyarakat kepada mesej sebenar kitab suci tersebut, iaitu mengenai ketabahan umat Tuhan menghadapi tekanan dan penindasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Petrus berkata Mazmur 129 mengandungi mesej bahawa penindasan tidak akan mengatasi ketabahan dan kebenaran, selain mengingatkan bahawa penghinaan serta ejekan manusia bersifat sementara dan tidak menjejaskan kemuliaan Tuhan atau mereka yang mengabdikan diri kepada pelayanan agama.

Beliau turut memetik ayat keenam Mazmur 129 yang menyamakan mereka yang angkuh dengan rumput di atas bumbung yang mudah layu, sebagai peringatan bahawa kesombongan dan ejekan yang tidak berakar pada kebenaran akhirnya akan berlalu.

Dalam konteks sivik pula, Petrus berkata simbol dan pegangan suci mana-mana agama tidak seharusnya dipermainkan atau dinormalisasikan sebagai bahan gurauan politik.

Katanya, prinsip Rukun Negara, khususnya Kepercayaan Kepada Tuhan serta Kesopanan dan Kesusilaan, perlu dihormati semua pihak tanpa mengira kedudukan atau fahaman politik.

Beliau turut menghargai rakyat Malaysia, termasuk pemimpin dan masyarakat Islam, yang tampil menyatakan pendirian menolak sebarang bentuk penghinaan terhadap agama serta menunjukkan solidariti kepada masyarakat Kristian.

“Pendirian ini membuktikan keharmonian rakyat Malaysia jauh lebih kukuh daripada kebiadaban politik,” katanya.

Sehubungan itu, Petrus menyokong tiga tuntutan, iaitu supaya Noorazli membuat permohonan maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada umat Katolik serta menarik balik tafsiran yang didakwa tidak tepat terhadap Mazmur 129.

Beliau turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan secara telus berdasarkan undang-undang sedia ada sekiranya terdapat asas kesalahan, selain menyeru semua parti dan pemimpin politik menghentikan budaya menggunakan kitab suci serta watak agama sebagai bahan gurauan atau modal politik partisan.

“Kepada umat beriman, tetapkanlah hati. Cabaran dan ejekan mungkin datang, tetapi seperti yang diingatkan dalam Mazmur 129, penindasan tidak akan menang.

“Tuhan itu adil, Dia memelihara umat-Nya dan kebenaran akan mengatasi sorakan sementara di pentas politik,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN