ADVERTISEMENTspot_img

UPKO BELURAN SAMBUT BAIK PENAMBAHAN KERUSI PARLIMEN NAMUN MAHU PELAKSANAAN

Felix

KOTA KINABALU: UPKO Bahagian Beluran menggesa agar penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak disegerakan tanpa sebarang kelewatan kerana perkara ini sepatutnya telah dilaksanakan sejak sekian lama.

Ketua Bahagian UPKO Beluran, Felix Joseph Saang, menyambut baik keputusan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan jumlah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak ditambah kepada nisbah yang lebih adil dan selaras dengan semangat pembentukan Malaysia.

“Kita menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak. Namun, Kerajaan mesti menunjukkan komitmen yang jelas dengan melaksanakannya segera tanpa terus bertangguh,” katanya.

Menurut beliau, UPKO Beluran mencadangkan supaya Sabah diberikan sekurang-kurangnya 14 kerusi Parlimen tambahan bagi memperkukuhkan suara rakyat Sabah di peringkat Persekutuan.

“Perkara yang lebih penting bukan sekadar jumlah tambahan kerusi, tetapi memastikan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak dipertingkatkan berbanding kedudukan semasa. Ini penting bagi mengembalikan keseimbangan representasi yang selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan kedudukan Sabah sebagai rakan pengasas Persekutuan Malaysia,” tegasnya.

Felix berkata, penambahan kerusi Parlimen akan membolehkan perwakilan rakyat yang lebih adil, berkesan dan seimbang, khususnya mengambil kira keluasan geografi, pertambahan penduduk serta keperluan pembangunan di Sabah.

Beliau turut menegaskan bahawa berdasarkan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tanggungjawab untuk menjalankan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya mengikut prinsip-prinsip yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, tiada alasan untuk terus melengah-lengahkan proses penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak. SPR perlu memulakan langkah-langkah yang diperlukan dengan segera agar rakyat dapat melihat kesungguhan dan komitmen Kerajaan dalam merealisasikan perkara ini,” katanya.

Beliau menambah bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan istimewa dalam pembentukan Malaysia pada tahun 1963 dan terus memainkan peranan penting dalam memastikan keseimbangan representasi politik di peringkat Persekutuan.

“Sudah tiba masanya hak dan kedudukan Sabah serta Sarawak diterjemahkan melalui peningkatan perwakilan yang lebih adil di Parlimen. Ini bukan soal politik semata-mata, tetapi soal keadilan, pengiktirafan dan penghormatan terhadap semangat pembentukan Malaysia,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN