Superintenden Sammy Newton
PENAMPANG: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun bagi membantu siasatan kes kematian seorang wanita tempatan berusia 44 tahun yang meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, pada 31 Ogos lepas.
Ketua Polis Daerah Penampang Superintenden Sammy Newton berkata mangsa dibawa ke hospital menggunakan ambulans dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 31 Ogos sebelum disahkan meninggal dunia pada malam yang sama.
Beliau berkata hasil tindakan pantas dan siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Penampang, lelaki berkenaan ditahan dan dipercayai mempunyai hubungan sebagai teman lelaki mangsa.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek sebelum mangsa dipercayai dipukul,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sammy berkata susulan kejadian itu, pemeriksaan di tempat kejadian dijalankan pasukan BSJD Penampang dengan kerjasama Pasukan Forensik D10, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
Menurut beliau, beberapa barang kes dan sampel berkaitan turut diperoleh untuk tujuan siasatan serta analisis forensik.
“Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam pada itu, Sammy menegaskan siasatan masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan berhubung kejadian berkenaan sehingga siasatan lengkap serta proses undang-undang selesai.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, ASP Mohd Hairie Awang Akub di talian 016-8032849 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas kerjasama yang diberikan dan menyeru agar sebarang maklumat berkaitan disalurkan kepada pihak polis bagi membantu melengkapkan siasatan,” katanya.



