ADVERTISEMENTspot_img

Kontinjen MOF Sabah cipta sejarah apabila muncul juara Perbarisan HKHS 2026

JUARA…..Kontinjen MOF


 
KOTA KINABALU : Kontinjen Kementerian Kewangan Negeri (MOF) Sabah mencipta sejarah apabila muncul juara kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi (Negeri) pada Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah (HKHS) 2026 di Dataran Bandaraya, di sini.
 
Lebih bermakna, kejayaan itu merupakan kali pertama Kontinjen Kementerian Kewangan Negeri Sabah dinobatkan sebagai juara sejak penyertaan sekitar awal tahun 2007 , sekali gus menjadi pencapaian bersejarah buat kementerian berkenaan.
 
Kontinjen seramai 40 anggota itu menandingi 18 kontinjen lain dalam kategori berkenaan yang disertai sebanyak 19 kontinjen.
 
Tempat kedua disandang oleh Jabatan Ketua Menteri (JKM), manakala Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) menduduki tempat ketiga.
 
Pengurus Kontinjen MOF Sabah, Ak Norfareez Pg Narudin, berkata kejayaan tersebut disambut dengan perasaan yang bercampur dengan keterujaan dan kegembiraan kerana tidak menyangka mereka berjaya membawa pulang kejuaraan.
 
Menurut beliau, persiapan kontinjen bermula sebelum Ramadhan bagi persediaan perbarisan sempena sambutan Hari Jadi Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah, sebelum latihan diteruskan semula pada Mei dan Jun setiap Selasa dan Khamis.
 
“Bermula Julai dan Ogos, latihan dipertingkatkan kepada setiap hari dari jam 3 hingga 4.30 petang sebagai persediaan menghadapi perbarisan HKHS 2026,” katanya.
 
Beliau berkata antara cabaran utama sepanjang latihan ialah kesukaran memastikan semua anggota dapat hadir mengikut jadual yang ditetapkan berikutan tuntutan tugas hakiki serta tugasan tambahan.
 
“Kesibukan kerja hakiki dan tugas-tugas tambahan menjadikan komitmen ahli untuk turun berlatih agak sukar. Namun, dengan kerjasama dan sokongan semua pihak, latihan dapat diteruskan sehingga membuahkan hasil,” katanya.


Norfareez, yang bertugas sebagai Pegawai Pentadbiran, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, serta Pembantu Menteri, YB Datuk Ben Chong Chen Bin dan YB Dato’ Sr Mohd Ishak bin Datuk Ayub atas sokongan, kepercayaan dan bimbingan yang diberikan, sekali gus menjadi sumber semangat dan motivasi untuk terus melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik-baiknya.


Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Setiausaha Tetap
Kementerian Kewangan,Datuk Mohd Sofian Alfian Nair, Timbalan Setiausaha Tetap, Anthea James Jipanus, Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan) Datuk Chee Shok Ting, dan Puan Dayang Selha Binti Ibrahim selaku Ketua Jawatankuasa HKHS serta yang terlibat.
 
“Tidak ketinggalan juga semua ahli jawatankuasa HKHS 2026 serta semua pihak yang banyak membantu melancarkan urusan kontinjen.” Kata beliau.
 
Norfareez berkata sekiranya diberikan kepercayaan sekali lagi untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus Kontinjen, pihaknya akan berusaha mempertahankan kejuaraan tersebut.
 
“Untuk mengekalkan kejuaraan bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi dengan sokongan dan dorongan daripada semua pihak, saya percaya Kontinjen MOF Sabah mampu memberikan yang lebih baik bagi mengekalkan kejuaraan tersebut pada tahun seterusya.” Ujarnya.
 

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN