Nizam
KOTA KINABALU, 1 Sept (Bernama) — Orang ramai di Sabah dinasihatkan mengutamakan kesihatan dan mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah susulan keadaan kualiti udara yang tidak sihat di beberapa kawasan negeri itu ketika ini.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan berkata keadaan berkenaan perlu diberikan perhatian serius berikutan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) boleh berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan cuaca dan pergerakan angin.
Beliau berkata berdasarkan maklumat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, keadaan jerebu itu antara lain berpunca daripada asap tebal akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan yang dibawa tiupan angin ke wilayah Borneo termasuk Sabah.
“Berdasarkan bacaan IPU yang dikeluarkan JAS, beberapa kawasan termasuk Tawau, Semporna dan Kota Kinabalu telah mencatatkan bacaan pada tahap tidak sihat.
“Keadaan ini perlu diberikan perhatian serius khususnya kerana bacaan IPU boleh berubah dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Nizam berkata golongan yang perlu diberikan perhatian khusus termasuk kanak-kanak, belia, warga emas serta individu yang mempunyai masalah kesihatan dan pernafasan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan golongan berkenaan supaya mengurangkan aktiviti fizikal dan aktiviti luar rumah sekiranya kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.
Dalam pada itu, beliau menyeru persatuan sukan, akademi, kelab, jurulatih dan penganjur program supaya sentiasa memantau bacaan IPU di kawasan masing-masing serta membuat penyesuaian sewajarnya terhadap latihan atau aktiviti luar.
“Kesihatan dan keselamatan atlet, pemain serta peserta hendaklah menjadi keutamaan.
“Sekiranya keadaan tidak mengizinkan, aktiviti berintensiti tinggi di kawasan terbuka wajar dikurangkan, ditangguhkan atau dipindahkan ke lokasi tertutup yang bersesuaian,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan kualiti udara.
Katanya, sebarang kejadian pembakaran terbuka atau kebakaran hendaklah segera dilaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
Nizam berkata Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan akan terus mengikuti perkembangan semasa keadaan kualiti udara di Sabah.
“Saya percaya Jabatan Alam Sekitar serta agensi-agensi berkenaan sedang mengambil langkah sewajarnya termasuk meningkatkan pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan.
“Saya berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama, mengikuti nasihat pihak berkuasa dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai bacaan IPU melalui saluran rasmi,” katanya.



